MENGHARUNGI pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun tentunya bukan mudah untuk semua orang.

Masing-masing berjuang meneruskan kehidupan dan terpaksa keluar bekerja meski kadang-kala bimbang dengan situasi semasa di luar jangka, selain pelbagai cabaran dilalui.

Pelakon Azar Azmi yang kini hangat dengan lakonan terbaharunya menerusi drama Derita Untuk Bahagia turut berdepan hal sama, malah pernah menjalani kuarantin kendiri apabila salah seorang rakan pelakonnya, menjadi kontak rapat kepada selebriti positif virus tersebut.

“Ketika menjalani penggambaran drama Derita Untuk Bahagia beberapa bulan lalu, saya terpaksa berehat dua minggu daripada bekerja kerana menjalani kuarantin kendiri.

“Salah seorang pelakon dalam sitkom Karoot Komedia X yang turut dibintangi saya, menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid dan secara tidak langsung saya juga perlu membuat ujian calitan sama.

“Walaupun keputusan negatif, saya tetap menjalani kuarantin. Rasa bersalah juga kerana penggambaran terpaksa ditangguhkan sebab saya, tetapi itulah yang terbaik demi kebaikan semua,” katanya yang ditemui ketika sidang media drama Derita Untuk Bahagia yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Tidak hanya itu, kongsi Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 32, penggambaran drama 30 episod tersebut juga dua kali tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Azar, bukan mudah untuk mengekalkan momentum lakonan untuk karakter tersebut selepas beberapa kali penggambaran direhatkan, tetapi itulah cabaran yang harus dilalui pelakon yang terlibat.

“Dalam drama ini saya memegang watak sebagai Alisha dengan dua latar masa berbeza iaitu ketika remaja dan dewasa.

Iklan

“Jadi bila kembali masuk ke set selepas penggambaran tertangguh, adakala ‘terlari’ karakter antara dua latar masa tersebut.

“Apatah lagi drama ini banyak menampilkan babak berat. Bukan mudah, terutamanya ketika babak ibu Alisha meninggal di mana saya rasa cukup dekat dengan apa yang pernah saya alami sebelum ini,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Azar mengharapkan agar drama yang menyaksikan gandingannya bersama Hafreez Adam dan Amar Baharin yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima itu mendapat sambutan ramai.

“Drama ini mengisahkan tentang kekeluargaan dan kisahnya sangat dekat dengan masyarakat hari ini.

“Banyak mesej boleh diambil dan dijadikan pengajaran dalam kehidupan kita,” katanya.