MAHU mencari kelainan dalam setiap karyanya, penyanyi Wani Syaz memberanikan diri mencuba pelbagai genre muzik untuk menguji bakatnya dalam nyanyian.

Bagi Wani atau nama penuhnya Nursyazwani Selamat, 23, dia sentiasa bersedia dengan sebarang kritikan mahupun teguran dalam setiap apa ditampilkan kerana percaya ia merupakan satu proses untuk menjadi lebih baik.

Mengambil contoh single terdahulunya, Pendusta Cinta, yang menyaksikan aksinya menari dalam muzik video lagu itu mendapat kecaman ramai, Wani berkata, dia kini semakin matang menangani situasi tersebut.

“Jika tidak mencuba, saya masih dalam zon selesa saya dan bimbang peminat bosan nanti.

“Jadi itulah yang saya lakukan menerusi muzik video lagu itu dan syukur apabila ia mendapat sambutan ramai,” ujarnya.

Diam tidak diam, kata Wani, tidak terasa perjalanan seninya kini hampir memasuki tahun kelapan.

Meskipun masih ada yang belum menyedari kehadirannya, namun artis naungan FMC Music itu sudah menghasilkan beberapa single termasuk, I Cinta Jer, Sinar Terindah (duet bersama Wany Hasrita), Lepaskanlah, Alhamdulillah (duet bersama Juzzthin), Pendusta Cinta (duet bersama Waris) dan lain-lain.

Terkini, Wani yang mula terlibat serius dalam bidang seni pada tahun 2013 itu kembali dengan single kesembilannya, Habibi. Karya ciptaan sepenuhnya oleh DJ Fuzz, Aziquebeats dan Waris itu telah dilancarkan pada 16 November lalu.

“Kali ini saya mempertaruhkan lagu irama padang pasir dengan sentuhan moden dan tampil berduet dengan Waris buat kali kedua.

“Saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu genre begini kerana irama padang pasir yang diterapkan sentuhan moden seperti ini merupakan genre kegemaran dan ia bersesuaian dengan vokal saya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor itu juga mengharapkan agar single tersebut termasuk muzik videonya diterima ramai.

“Moga-moga selepas menonton muzik video Habibi ini nanti, tiada yang akan kecam. Bagilah peluang untuk saya keluar dari kotak dan zon selesa.

Iklan

“Kalau boleh pada masa akan datang, saya nak cuba genre yang jauh berbeza supaya dapat cabar kemampuan vokal sendiri.

“Apa diharapkan juga agar muzik video Habibi ini mendapat tontonan lebih tinggi berbanding muzik video Pendusta Cinta yang pernah meraih 26 juta tontonan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wani mengakui selesa dengan penampilannya selama ini. Wani dianggap sebagai antara selebriti tanah air yang bersih daripada gosip dan cerita-cerita negatif.

“Saya bukan sombong atau tidak mahu bergaul dengan rakan artis lain, tetapi saya lebih selesa bersama ibu yang sentiasa menemani ke mana pun saya pergi.

Iklan

“Jika ibu tidak menemani saya di KL, selepas habis kerja saya akan terus pulang ke Batu Pahat, bagi menumpukan perhatian kepada restoran kami, Beezer box.

“Jadi mungkin kerana itu, saya jarang terpalit dengan gosip dan sebagainya,” jelasnya.

 

(FOTO: FMC Music)