KEMBALI menjadi perhatian selepas menyertai program Gegar Gavanza musim kelapan (GV8), penyanyi Suki Low memperoleh pelbagai peluang baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

Walaupun pernah seketika menyepikan diri daripada industri seni, pemilik nama sebenar Suki Low Sook Yee, terus mendapat sokongan para peminat muzik tanah air yang sentiasa menghargai bakat dimiliki.

Terharu dengan kepercayaan yang diberikan, wanita berusia 33 tahun itu tekad untuk kembali memberi fokus kepada muzik pada tahun ini.

“Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan dalam industri membuatkan saya rasa teruja dan bersemangat untuk berkarya dan akan terus meningkatkan prestasi dalam nyanyian, persembahan serta dalam kerja-kerja produksi.

“Saya akan memberanikan diri untuk terbabit lebih banyak dalam produksi, terutamanya dalam penerbitan lagu sendiri,” katanya.

Membutikan kata-kata itu, Suki kini tampil dengan single baharu berjudul Bahagia Yang Sebentar, hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi popular, Shila Amzah.

Suki pada majlis pelancaran single Bahagia Yang Sebentar baru-baru ini.

Kata Suki, demo lagu tersebut diterima sebaik sahaja GV8 berakhir, tetapi disebabkan kesibukannya dengan pelbagai aktiviti seni, hasrat merakamkan lagu tersebut ditangguh terlebih dahulu.

“Saya memang suka lagu ini dan mahu jadikannya sebagai single baharu. Namun ketika menerima demo lagu ini, saya sudah terikat dengan beberapa projek lain termasuk lagu OST Filem The Assistant, Nelangsa dan lagu Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2022.

“Jadi saya tidak mahu terburu-buru dan perlu mengambil sedikit masa untuk mendalami serta mempersiapkan diri. Kini masanya telah tiba dan saya sendiri yang terbitkan lagu ini,” katanya.

Beri semangat

Mengulas lanjut tentang lagu tersebut, bekas juara pertama program One In A Million itu berkata, proses produksi sudah bermula pada November 2022, manakala rakaman pula pada awal Januari lalu.

Biarpun sudah lama tidak merakamkan single baharu, Suki akui tidak timbul perasaan kekok dalam diri, sebaliknya sentiasa berasa teruja untuk memberikan yang terbaik pada karya yang dihasilkan.

“Lagu ini mengisahkan kehilangan dan fasa kedukaan bila kehilangan seseorang. Menyangkal, marah, tawar menawar, depresi dan akhirnya penerimaan. Lagu bergenre Pop Balada ini adalah sebuah lagu cinta yang penuh emosi.

Iklan

“Ketika itu, studio rakaman umpama rumah kedua buat saya. Saya suka luangkan masa dalam studio kerana ia tempat selamat untuk saya mengekspresi segala emosi dan kreativiti, sama ada sebagai penyanyi atau tenaga kerja produksi,” ujarnya yang melalui proses rakaman vokal selama tujuh jam.

Hargai sokongan peminat, Suki mahu lebih fokus pada kerjaya nyanyian dan muzik.

Bintang yang mula dikenali dengan lagu Berdiri itu mengharapkan agar buah tangan terbaharunya dapat diterima ramai, sekali gus mengubat rindu peminat yang mendambakan karya istimewa daripadanya.

“Saya berharap lagu ini diterima ramai serta dapat menemani pendengar yang melalui fasa kehilangan dan menyembuhkan hati duka.

Iklan

“Bagi saya, muzik boleh menyembuh dan memberi semangat. Jadi saya berharap lagu Bahagia Yang Sebentar dapat mencapai tujuan itu,” katanya.

(FOTO: NOVA MUSIC)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.