MEMPUNYAI misi tersendiri dalam industri seni, kumpulan acapela wanita, Bahiyya Haneesa mahu menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk menyerlahkan bakat nyanyian mereka.

Tidak sekadar mahu menghiburkan, tetapi kumpulan yang dianggotai oleh Afi, Bella, Bonn, Fatin, Nina, Syasya, Suha dan Wafa itu mahu tampil dengan karya bermesej.

Menerusi single terbaharu mereka berjudul Percaya, Bahiyya Haneesa cuba mengangkat mesej penting tentang memperkasakan wanita.

Salah seorang anggota Bahiyya Haneesa, Bonn, berkata, itu merupakan antara mesej penting ingin diketengahkan menerusi single tersebut.

“Sesuai dengan judul lagu itu, kami ingin semua wanita di luar sana untuk percaya pada diri sendiri dan yakin setiap halangan dilalui akhirnya akan memberikan hasil diinginkan.

“Kita semua tahu tiada apa yang senang dalam dunia ini. Semuanya perlukan usaha. Sekiranya gagal, jangan pernah sekali pun kita putus asa.

“Paling penting, wanita perlu memberi sokongan antara satu sama lain. Wanita adalah inspirasi dan layak dihargai tanpa mengira siapa pun mereka,” katanya.

Bahiyya Haneesa pada awalnya tampil sebagai kumpulan nasyid, namun kini terbuka mencuba muzik lebih versatil termasuk pop dan rap.

Mengulas tentang pembikinan lagu Percaya, kata Bahiyya Haneesa, mereka amat mementingkan kualiti dan keserasian lagu tersebut dengan karakter kumpulan.

“Sebenarnya agak lama untuk kami jumpa lagu yang betul-betul sesuai. Kami diberi banyak demo oleh beberapa komposer ternama tetapi lagu Percaya benar-benar berjaya menambat hati.

“Kami juga banyak membuat rujukan beberapa lagu yang mengangkat tema wanita sedia ada dan cuba sesuaikan dengan jiwa dan karakter kami.

“Lebih kurang tiga bulan juga kami ambil masa untuk menyiapkan lagu ini dan alhamdulillah dengan hasil kerjasama antara Bahiyya Haneesa bersama pihak Sony Music, maka terhasillah Percaya,” ujarnya.

Iklan

Menyentuh mengenai aspek teknikal, lagu ciptaan dan lirik oleh Bonn itu juga dihasilkan dengan penuh ketelitian.

“Untuk rakaman Percaya, ia agak mencabar kerana lebih banyak pembahagian suara dan harmoni yang kami perlu lakukan.

“Kami menghabiskan lebih kurang 18 jam dalam studio untuk memastikan ia betul-betul sempurna dan semua orang berpuas hati dengan lagu ini.

“Kami berjaya masukkan banyak elemen termasuk bahagian rancak, tinggi, rendah, rap dan campuran bahasa. Kami berganding bahu membantu satu sama lain untuk memberikan yang terbaik kepada lagu ini,” kata Bahiyya Haneesa yang berjaya meraih populariti dalam masa singkat.

Iklan

Bersesuaian dengan temanya yang mengangkat wanita sebagai inspirasi, Percaya turut menjadi lagu tema kempen #SisRedahJe yang dianjurkan oleh Safi Shayla.

Lagu Percaya kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, dan YouTube.

 

(FOTO: Sony Music Malaysia)