BERMULA 23 Mac ini, Astro membawakan drama terbaharu di slot Megadrama iaitu Rindu Awak Separuh Nyawa.

Drama bersiri 40 episod yang mengangkat genre romantik itu diterbitkan syarikat produksi  SR One Sdn Bhd dan diarahkan pengarah yang tidak asing lagi, Along Kamaludin.

Naskhah ini menyaksikan gandingan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose selaku teraju utama.

Selain itu, drama ini turut dibintangi Norreen Iman, Marsha Milan, Fizo Omar, Aida Khalida, Khairil Anwar Aman, Rahim Jailani, Norkhiriah, Aleza Shadan dan Balkisyh Semundur Khan.

Sempena tayangan drama ini, kami tampilkan lima fakta menarik mengenai drama ini :

  1. Drama Rindu Awak Separuh Nyawa’ merupakan drama pertama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose selaku teraju utama. Kemampuan kedua-dua pelakon popular ini untuk menghidupkan watak Nazril Nazim dan Kasih Maisara sekali lagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai pelakon versatil. Walaupun pertama kali disatukan, Shukri dan Uqasha mempunyai chemistry yang baik sekaligus memudahkan lagi penggambaran.
Shukri dan Uqasha pantas mencipta keserasian di set penggambaran.

2. Watak utama Kasih Maisara yang dilakonkan oleh Uqasha Senrose sarat dengan mainan emosi yang mendalam. Uqasha pernah menangis sehingga takut untuk ke set penggambaran kerana tertekan untuk menjiwai watak tersebut. Uqasha juga hanya mempunyai satu hari sahaja untuk membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental selepas tamat penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa dan kemudiannya terus disambung dengan penggambaran untuk drama Rindu Awak Separuh Nyawa.

Uqasha memberitahu agak tertekan untuk membintangi drama ini kerana perlu membawakan watak berat dalam tempoh panjang.

3. Ini juga merupakan kali pertama Uqasha terlibat dengan penggambaran drama yang melibatkan naskah panjang sehingga 40 buah episod.

4. Menariknya, dalam salah satu babak sewaktu kereta yang dipandu laju oleh watak Maisara melanggar motosikal yang sedang ‘dinaiki’ oleh watak Nazril lakonan Shukri Yahaya, sebenarnya Shukri adalah pemandu sebenar kereta untuk adegan tersebut, dan bukan beliau yang membawa motosikal tetapi orang lain.

Fizo Omar dan Noreen antara pelakon yang membintangi drama ini.

5. Keseluruhan penggambaran drama Rindu Awak Separuh Nyawa masih belum selesai dan sedang giat dijalankan di sekitar Lembah Klang pada ketika ini. Pihak produksi juga turut menitik beratkan pengamalan SOP yang ketat sepanjang penggambaran berlangsung termasuklah daripada segi penjagaan kendiri dan jarak fizikal yang selamat serta pemakaian pelitup muka dan sarung tangan terutamanya sewaktu menata rias. Jadual penggambaran juga telah disusun agar tidak melebihi jam 10 malam pada setiap hari.

Iklan

Rindu Awak Spearuh Nyawa mengisahkan Kasih Maisara yang memiliki sikap angkuh dan sombong serta berdendam dengan ayahnya, Datuk Raqib atas kematian ibunya sehingga menjadikan anak rakan baik orang tuanya, Aidil, sebagai kambing hitam untuk melepaskan dendamnya.

Maisara berpura-pura menyukai Aidil tetapi apabila tiba majlis pertunangan, gadis itu membatalkannya sehingga mengecewakan lelaki berkenaan. Namun, Aidil yang kecewa masih menyimpan perasaan demi kasihnya.

Iklan

Pertemuan tanpa diduga dengan Nazril Nazim, membuka tirai baharu dalam hidup.

Nazril Nazim mendapat jolokan ‘Pak Ustaz’ atas sifat budiman dan pemalu itu, mengalami insiden yang menemukannya dengan Maisara hingga mencetuskan perang mulut, lalu mencabar keegoan gadis berkenaan.

Saksikan drama Rindu Awak Separuh Nyawa, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam secara secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.