PENYANYI dan pelakon, Ayda Jebat meluahkan rasa bangga dengan usaha murni rakyat Malaysia yang bersatu-padu dan pantas menghulurkan bantuan terhadap mangsa banjir di sekitar Lembah Klang dan lokasi-lokasi yang terjejas.

Menurut Ayda atau nama penuhnya Nur Suhada Jebat, dia kagum melihat ramai pihak mengambil inisiatif dan usaha sendiri menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir baik di kawasan perumahan mahupun di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Saya sangat sebak dan bangga dalam masa sama melihat rakyat Malaysia berganding bahu menghulur bantuan atas usaha mereka sendiri.

“Satu semangat sebenar yang menyentuh hati dan membuktikan rakyat negara ini bersatu hati dan saling membantu antara satu sama lain bila berlaku musibah,” katanya.

Tambah isteri kepada pengacara Nabil Mahir itu, dia turut berbangga melihat ramai selebriti turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Izzue Islam, Ismail Izzani dan Faizal Tahir.

Baginya, masing-masing boleh memainkan peranan dan membantu semua masyarakat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka.

Iklan

“Saya sendiri melakukan sedaya mungkin dalam usaha meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

“Kadang-kadang tak perlu tunggu kaya atau berharta untuk membantu. Bantuan boleh dilakukan dalam apa cara termasuk doa.

Iklan

“Saya tabik dengan semua pihak. Ada yang bersedia sumbangan tenaga membantu menjadi sukarelawan,” ujarnya.

Penyanyi Pencuri Hati itu turut menyalurkan sumbangan kepada beberapa kempen bantuan yang dijalankan antaranya #TanganSembunyi menyumbangkan makanan kepada PPS berkaitan.