PENYANYI  terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd memperkenalkan program Bantuan Prihatin 2021 untuk golongan kanak-kanak daripada keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menerusi satu kenyataan, Siti, 42, berkata, bantuan tersebut sebagai tanda prihatin pihaknya untuk meringankan beban keluarga yang memerlukan bantuan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Selangor dan di Kuala Lumpur ketika ini.

Selaku Pengasas Yayasan Nurjiwa merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn. Bhd, Siti berharap agar program bantuan itu akan dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai anak kecil.

“Bantuan ini memfokuskan kepada barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan boleh dimohon oleh keluarga memerlukan di Selangor dan di Kuala Lumpur.

“Kami akan usahakan secara berperingkat dan menyasarkan 1500 keluarga yang terjejas akibat pandemik sewaktu PKP dan PKPD ini.

“Saya juga berharap agar lebih ramai lagi pihak akan menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini,” ujar Siti.

Mewakili Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings, Siti turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian syarikat Ikhlas.com, Mommyhana Creative, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan itu.

“Sejak pandemik melanda negara hingga ke hari ini, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan rakyat.

Iklan

“Hari ini kita terus kuat bersatu dan menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,” ujarnya.

Permohonan Program Bantuan Prihatin 2021 itu boleh dibuat menerusi aplikasi Google Form. Keluarga susah dan mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah layak memohon, di mana ia perlu dibuat oleh salah seorang wakil suami atau isteri.

Pihak Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings iaitu SimplySiti, BeauSiti dan BeauTYRA juga mengalu-alukan lebih ramai individu, syarikat dan NGO untuk menyertai usaha ini sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin.

Iklan

Sementara itu, orang ramai boleh menyertai usaha memberikan bantuan tersebut dengan menyumbang ke Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 yang dilancarkan oleh Yayasan Nurjiwa dan CTDK bersama Kita Fund.

Untuk menyumbang, sila klik link ini https://kita.fund/YNJCTDKHoldings atau terus ke laman web Kita Fund.