BAPA pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki iaitu Aksan Abu Bakal meninggal dunia Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, sekitar  jam 2.57, pagi Selasa.

Menerusi laman Instagramnya hari ini, Afdlin, 49,  berkongsi berita duka tersebut dan memohon orang ramai untuk mendoakan yang terbaik buat Allahyarham bapanya.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda tersayang kami, Aksan Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, Selasa 11 Ogos 2020, jam 2.57 pagi di HUKM, Kuala Lumpur.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan dengan golongan orang-orang yang beriman,” ujar Afdlin beserta foto terakhir arwah bapanya.

Dalam perkongsian yang sama, pengarah filem Buli itu juga berharap agar mereka yang mengenali arwah bapanya itu dapat memaafkan segala kesalahan Allahyarham.

“Senyuman terakhir papa yang tak habis-habis membuat orang berasa tenang dan ceria. Tiada lagi Aksan bin Abu Bakar.

“Bapa kepada 10 orang anak. Suami kepada dua orang isteri. Bapa saya yang tercinta.

“Dia berpesan kepada saya yang dia meminta maaf dan ampun ke atas segala kesalahan yang pernah beliau lakukan kepada sesiapa yang mengenali beliau.

“Tolong ampunkan ye.. please! Beliau juga memaafkan semua orang dan juga berkata yang beliau tidak ada rasa dendam atau sakit hati dengan sesiapa.

“Ya Allah kau ampunilah dosa-dosa beliau dan terimalah amalan dan kebaikan beliau. Tempatkanlah roh beliau di kalangan roh-roh orang yang beriman. Al-fatihah. I love you papa,” luahnya.

Dalam pada itu, Afdlin turut memaklumkan jenazah bapanya kini masih berada di hospital bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan pandemik Covid-19.

Iklan

“Jenazah hanya akan dibenarkan untuk dibawa pulang selepas mendapat keputusan ujian Covid-19 yang telah dilakukan ke atas jenazah.

“Keputusan akan diketahui oleh ahli keluarga selewat- lewatnya petang ini sebelum segala urusan pengebumian jenazah dilaksanakan.

“Kami pihak keluarga akan memaklumkan segala makluman pengebumian secepat mungkin.

“Jika arwah ayahanda kami ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah sekiranya menghubungi salah seorang daripada kami, anak-anaknya,” katanya.

Iklan

Terdahulu sebelum itu, Afdlin ada memaklumkan keadaan bapanya yang sedang menjalani pembedahan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan penyakit dihidapi bapanya ketika itu.

 

(SUMBER/FOTO: Instagram Afdlin Shauki)