BAPA pereka fesyen Rizman Nordin, Nordin meninggal dunia hari ini.
Perkhabaran duka tersebut dikongsikan Rizman menerusi laman sosial Instagramnya @rizman.n kira-kira tiga jam lalu.
“Innalillahwainalillahirajiun…Assalamualaikum. Ayah saya, Nordin baru saja dijemput ILLAHI.
“Alhamdulillah.. baba pergi dengan tenang dalam tidur sepertimana janjinya dengan ALLAH,” tulisnya.
Dalam pada itu, Rizman yang memiliki seorang cahaya mata perempuan itu turut menitipkan doa buat arwah bapanya yang dipanggil ‘baba’.
“Man doakan semoga baba berada dalam lindungan ALLAH, diampunkan segala dosa di dunia dan di akhirat.
“Man doakan juga semoga roh baba dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Dipelihara di alam kubur dan diperluaskan kuburnya sepertimana salah satu taman syurga ALLAH dan semoga baba berada di alam sana dengan tenang,” coret beliau.
Dalam posting sama, Rizman juga memuat naik lima keping gambar kenangan yang dirakam bersama bapanya.
Sementara itu, rakan artis turut menzahirkan ucapan takziah buat Rizman atas kehilangan bapa tercinta.
Antaranya, sahabat baik beliau pelakon, Fazura dan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Ini termasuklah, selebriti Lisa Surihani, Elfira Loy, Siti Sarah dan Ziana Zain.
Untuk rekod, Rizman merupakan pengasas label fesyen Rizman Ruzaini yang diasaskan bersama pereka, Wan Ruzaini Wan Jamil (Ruzaini).