Bapa positif Covid-19, Fynn Jamal jalani kuarantin
PENYANYI Fynn Jamal meminta sesiapa yang mengenali bapanya, Jamalludin Abdul Hamid agar mendoakan kesihatan bapanya yang baharu sahaja disahkan positif virus Covid-19.
Menurut Fynn atau nama sebenarnya Affina Yanti Jamalludin, 37, bapanya tidak mempunyai sebarang symptom dan ke hospital pada awalnya kerana bacaan gula rendah dalam darah.
“Bagi sesiapa yang mengenali abah, Haji Jamalludin Abdul Hamid, dengan rendah hati saya meminta sedikit doa untuk beliau yang baharu sahaja disahkan positif Covid-19.
“Abah tak ada symptom, dia ke bahagian kecemasan pun asalnya kerana hypoglycaemic. Dah di suruh pulang pun, selepas pemeriksaan jantung dan sebagainya menunjukkan tiada masalah.
“Bagaimanapun disebabkan abah tidak sedap hati, jadi ibu dan abah minta saya pulang. Sebaik tiba, saya terus bawa abah ke pusat perubatan swasta dan di sana, keputusan ujian saringan Covid-19 menunjukkan abah positif,” kongsi Fynn menerusi Instagram miliknya.
Tambah Fynn, punca jangkitan bapanya masih lagi disiasat, namun mereka mengesyaki bapanya mendapat jangkitan ketika menyantuni datuk Fynn yang mengalami kecederaan patah kaki minggu lepas.
Katanya, dia juga akan menjalani kuarantin selama 14 hari dan berharap keputusan swab test nanti, baik-baik sahaja.
“Doakan seluruh ahli keluarga kami. Punca masih dalam siasatan. Tetapi kemungkinan abah dapat jangkitan masa menyantuni atok yang patah kaki minggu lepas.
“Dan sebagaimana dia, hari ini saya di sini kerana menyantuni abah. Kalau saya diberi pilihan, saya akan tetapi pilih untuk pulang kepadanya, lagi dan lagi,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang