PLATFORM penstriman muzik, JOOX tampil dengan projek terbaharu, Gegaran Band yang mengetengahkan barisan artis terbaik dalam industri muzik tanah air.

Mengikuti kejayaan dua siri projek JOOX Originals sebelum ini iaitu Super Producer dan Hip Hop Beats, Gegaran Band mengumpulkan beberapa kumpulan muzik popular untuk tampil dengan lagu baharu secara eksklusif di JOOX.

Ia merupakan salah satu inisiatif JOOX untuk memberikan semangat kepada peminat muzik tanah air memulakan tahun 2021.

Kumpulan muzik terpilih yang tampil dengan hit terbaharu mereka secara ekslusif di JOOX terdiri daripada Kugiran Masdo, IamNeeta, Caliph Buskers, Madam, One Avenue Band, Azarra Band dan Drama Band.

Kesemua lagu dalam siri Gegaran Band itu akan dapat diperdengarkan secara eksklusif di JOOX dan disusuli dengan pelancaran muzik video di saluran YouTube artis-artis yang terlibat dalam projek ini.

Selain itu, peminat muzik tanah air bukan sahaja boleh mendengar lagu-lagu ini tetapi juga untuk menyanyikannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui fungsi karaoke JOOX.

Kumpulan pop rock Kugiran Masdo menjadi pembuka tirai untuk siri Gegaran Band menerusi lagu berjudul Lautan Asmara, diikuti IamNeeta menyusuli dengan lagu Lampu Hijau dan Madam dengan lagu Musnah yang dilancarkan baru-baru ini.

Iklan

Ia kemudiannya diteruskan dengan Caliph Buskers, One Avenue Band, Azarra Band dan Drama Band akan melancarkan lagu-lagu terbaharu mereka di JOOX akan datang.

Menurut Head of JOOX Malaysia, Angie Tan, projek tersebut diteruskan selepas mendapat sambutan luar biasa daripada peminat muzik tanah air untuk dua siri JOOX Originals sebelum ini.

Iklan

“Kami teruja menampilkan barisan pemuzik berbakat untuk projek siri ketiga ini dan akan terus berusaha memeriahkan lagi arena muzik tempatan dengan menghasilkan lebih banyak lagu,” katanya.

(FOTO: Joox)