MENGHARGAI sokongan padu yang diberikan peminat, kumpulan Salammusik tampil meraikan ulangtahun pertama penghasilan album fizikal mereka yang berjudul Riwayat.

Salammusik yang dikenali menerusi lagu-lagu hits seperti Aku Pelat dan Bangkit sentiasa mengangkat dan menyemarakkan elemen dan irama tradisional Melayu di dalam naskhah mereka.

“Kami sentiasa menghargai elemen muzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengetengahkan elemen ini untuk dikongsi bersama generasi muda.

“Pada masa sama, ia disulami dengan rentak-rentak moden agar ia kekal relevan dalam trend muzik semasa,” kata Salammusik.

Sempena sambutan itu juga, peminat boleh mendengar single daripada album tersebut Riwayat yang berjudul Menyemai Kemungkinan menerusi platform digital terpilih seperti iTunes, Spotify dan lain-lain.

Menurut Salammusik, lagu Menyemai Kemungkinan merupakan sebuah karya yang diilhamkan daripada sejarah Malaysia sendiri. Malah lagu tersebut turut diangkat menjadi lagu tema filem aksi seni mempertahankan diri, Geran.

“Selepas pelancaran album fizikal yang pertama, Riwayat, kami mulai sibuk dengan aktiviti jelajah di seluruh negara dengan mengadakan persembahan di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh.

“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada peminat dan penyokong muzik kami di Malaysia.

“Dalam masa sama, kami juga berasa amat teruja apabila mendapat undangan untuk menjayakan persembahan di festival-festival utama di Eropah,” ujarnya.

Menariknya, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) juga turut menyokong inisiatif murni Salammusik dalam memartabatkan elemen muzik tradisional menerusi   penghasilan karya mereka.

Berikutan itu, Salammusik juga mendapat pengiktirafan dan surat penghargaan yang dizahirkan oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Iklan

“Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila usaha kreatif kami mendapat perhatian pihak berkenaan ini.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha kami sejak awal lagi,” kata Salammusik.

Dalam perkembangan lain, Salammusik juga terpaksa membatalkan persembahan jelajah Eropah yang dijadualkan pada tahun ini, biarpun telah mengesahkan penyertaan mereka dalam sembilan festival utama berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan pembatalan serta penundaan acara dan festival muzik di seluruh dunia disebabkan wabak ini.

Iklan

“Namun begitu, kebanyakan festival ini telah pun menjadualkan semula pembabitan Salammusik ke tahun hadapan, 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Salammusik turut menggalakkan pemuzik tempatan untuk berani dalam mengeksplorasi kolaboratif di peringkat antarabangsa kerana banyak pengalaman dan ilmu baharu yang boleh ditimba.

“Dunia sedang berevolusi dan saling menginspirasikan. Jadi kita juga tidak harus ketinggalan,” akhirinya.