PENYANYI Azzam Sham menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara Big Stage 2020 yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, sebentar tadi.

Mengisi tema Ultimatum, Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzamuddin Lop Hisham, 23, tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu  Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Grenade daripada Bruno Mars.

Memperoleh markah sebanyak 67.85 peratus (%), Azzam menewaskan empat finalis lain iaitu Usop (66.57%), Qody Rany (61.85%), Dinie Rashid (60.04%) dan Fadh Majid (58.80%).

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Azzam membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

“Saya sebenarnya tak sangka dapat pegang trofi juara ini kerana waktu rehearsal lagi saya tengok persembahan rakan-rakan-lain semuanya gah-gah belaka dan saya serahkan pada ALLAH SWT untuk tentukan rezeki.

“Alhamdulillah rezeki tak pernah salah alamat. Terima  kasih kepada syarikat rakaman saya yang menjadi tulang belakang dan sentiasa memberikan sokongan moral sepanjang berada dalam  Big Stage ini.

“Untuk konsisten setiap minggu pula, motivasi daripada cikgu-cikgu saya iaitu Cikgu Shafi dan Cikgu Napi yang banyak membantu, selain peminat yang sentiasa memberikan sokongan,” ujar Azzam yang pernah empat kali memenangi Bintang BBNU Paling Gempak sepanjang lapan minggu beraksi di pentas Big Stage 2020.

Fadh Majid, Usop, Azzam Sham, Qody Rany dan Dinie Rashid masing-masing memberikan saingan sengit di pentas akhir Bigs Stage 2020 (FOTO: Astro)

 

Sementara itu, Usop yang turut memberikan saingan sengit berada di tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta Trofi.

Iklan

Diikuti tempat ketiga yang menjadi milik Qody Rany dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 beserta trofi.

Sementara Dinie Rashid dan Fadh Majid pula masing-masing berpuas hati di tempat keempat dan kelima dengan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Kesemua peserta diadili tiga juri profesional yang terdiri daripada Ajai, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir selaku juri tetap. Manakala Misha Omar pula bertindak sebagai juri jemputan, selain Elly Mazlein mengisi kerusi Presiden Netizen.

Iklan

Malam kemuncak Big Stage 2020 yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (124) dan Ria HD (104) itu menampilkan pengacara serasi Alif Satar dan Sherry AlHadad.

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)