Bella bangga dengan Aliff Aziz

A
A
A

BUKAN mudah menjadi wanita bernama Bella Astillah. Diuji sejak tahun pertama perkahwinannya membuatkan anak kelahiran Sandakan, Sabah itu menjadi semakin positif.

Tidak seperti segelintir wanita lain yang mungkin mengalah tatkala diuji dengan perselingkuhan dalam perkahwinan, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah tetap utuh berdiri di belakang suami tercinta, Aliff Aziz.

Selepas beberapa kali diuji, perkahwinan mereka menemui titik noktah apabila pasangan itu sepakat untuk bercerai pada Mei 2019.

Namun perpisahan tersebut hanya seketika, apabila Bella dan Alif kembali rujuk dalam tempoh idah.

Biarpun tidak berkongsi butiran lanjut mengenai proses rujuk mereka, namun kehamilan keduanya pada awal tahun lalu telah mengejutkan ramai dan membuka segala rahsia yang tersimpan hampir setahun.

Bagaimanapun dugaan yang dihadapinya tidak berakhir setakat itu sahaja.

Terpaksa ‘berpisah’ mengharungi saat bersalin serta berpantang anak keduanya, Ara Adreana, tiga bulan, tanpa kehadiran suami di sisi, bukan satu perkara mudah.

Seperti biasa, Bella, 26, tetap tenang menghadapi segala dugaan yang datang dan menyifatkan setiap permasalahan dan ujian itu akan ada akhirnya.

“Memang sejak dahulu lagi, saya positif dalam menghadapi apa jua ujian. Saya anggap akan tiba masanya ujian ini akan berakhir walau lambat macam mana pun.

“Saya rasa tak guna untuk saya meratap, meraung atau tertekan apabila berdepan dengan ujian. Saya juga tak suka tunjukkan kesedihan depan anak-anak.

“Alhamdulillah saya punya keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepada saya. Ia membuatkan saya tidak berasa sunyi atau sendiri,” katanya ketika ditemui pada Havoc Food Festival di pekarangan Stadium Shah Alam baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya perkembangan suaminya, Bella berkata, Aliff sudah dibebaskan daripada penjara minggu lalu.

Katanya, walaupun suaminya itu pernah membuat kesilapan, namun dia tetap bangga kerana penyanyi yang terkenal dengan lagu Sayang Sayang itu berani mengakuinya.

“Alhamdulillah ramai yang mendoakan kami dan saya hargai sangat. Ada juga yang cakap; ‘Tengok dia buat hal lagi’.

“Tapi sebenarnya sabitan kes itu adalah kes lama dan saya bangga dengan dia sebab Aliff mengakui kesilapan serta sudah menerima balasan di dunia.

“Saya beritahu, dia kena kuat dan bagus bila dia mengakui kesilapannya,” jelasnya.

BELLA-ALIFFBella berharap dapat bertemu Aliff secepat mungkin, apatah lagi anak kedua mereka, Ara Adreana belum pernah bertemu daddynya semenjak dilahirkan.

Bella berkata, dia berharap sangat dapat bertemu Aliff secepat mungkin, lebih-lebih lagi anak sulungnya, Ayden Adrean, 3, begitu merindui bapanya.

“Ayden memang selalu ajak saya ke Singapura. Kali terakhir kami berjumpa adalah pada awal Mac lalu, selepas itu hanya berhubung menerusi panggilan video sahaja.

“Cuma apabila Aliff dipenjara, Ayden tak dapat berkomunikasi dengan daddynya. Ada suatu ketika dia tiba-tiba menangis sendirian dan beritahu mahu berjumpa daddynya.

“Buat masa sekarang, saya hanya mengikut situasi semasa tetapi dalam masa sama, harap dapat berjumpa Aliff,” ujarnya.

Sibukkan diri

Tambah Bella, bagi merawat kerinduan terhadap si suami, dia memilih untuk menyibukkan diri dan memberi tumpuan kepada kedua-dua anaknya.

Selain akan kembali aktif berlakon dan menyanyi, Bella berkata, dia mula menyukai bidang perniagaan berasaskan makanan dan sudah menyertai festival makanan seperti Havoc Food Festival.

“Saya pilih untuk sibukkan diri supaya rasa masa cepat berlalu. Memang rindu nak jumpa Aliff, Ara pun belum jumpa daddy dia lagi.

“Insya-ALLAH saya akan kembali ke set penggambaran untuk sebuah telefilem tidak lama lagi dan ada perancangan untuk mengeluarkan single baharu.

BELLA ASTILLAHBella sangat positif dalam mengharungi ujian yang datang.

“Selain itu sibuk dengan anak-anak, saya cuba untuk sertai festival makanan seperti ini dengan menjual laksa yang dimasak sendiri bersama mama iaitu Laksa...Bah.

“Alhamdulillah sambutan memang menggalakkan. Dalam tempoh dua hari festival saya dah jual 750 mangkuk. Cuma buat masa ini, saya tak rancang untuk jual harian dan hanya berniaga apabila ada festival seperti ini,” ujarnya yang banyak mendapat ilmu berniaga makanan daripada pelakon Zarina Zainuddin.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca