Tragedi 3.35 pagi, lima sekeluarga maut rumah terbakar termasuk pelajar MRSM Bentong, dua lagi anak terselamat tinggal di asrama
PILU! Tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub meruntun hati. Lima sekeluarga membabitkan pasangan suami isteri serta tiga anak mereka ditemukan maut!
Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 3.35 pagi.
"Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, " katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Mohd Shahril mendedahkan kesemua mayat berkenaan akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.15 pagi mendapati sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40 x 30 kaki persegi telah terbakar.
"Berdasarkan laporan operasi, terdapat terdapat lima mangsa ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan membabitkan lelaki dan perempuan dewasa berserta tiga kanak-kanak.
"Kemusnahan struktur rumah adalah 100 peratus dan turut terbakar tiga buah kereta serta tiga buah motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Turut dimemaklumkan, pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos 200 kaki dan dua pancutan sumber air tangki pam jentera bomba.
Operasi memadam kebakaran diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Saiful Bahari Abd Rahman dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Raub serta bantuan lima anggota dari BBP Lipis.
MOHD ALAWI PENIAGA YANG PERAMAH
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Fadzli Mohamad Kamal yang sempat ke lokasi kejadian.
Menurut Fadzli, beliau sempat bertemu mangsa, Allahyarham Mohd Alawi Mohammad yang merupakan peniaga di Pekan Sehari Dong pada 1 Ramadan lalu.

"Pilu dan sedih pagi ini setelah menerima perkhabaran lima orang sekeluarga terkorban dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi.
"Saya terus ke tempat kejadian sesudah subuh tadi bagi melihat sendiri situasi sebenar.
"Kemalangan ini dipercayai mengorbankan Allahyarham Mohd Alawi bersama isteri dan tiga anak perempuannya," kongsinya.

Menurut Fadzli, Allahyarham Mohd Alawi seorang yang peramah dan mesra telah meninggalkan dua lagi cahaya mata yang tidak berada di rumah tersebut ketika kejadian.

Ahmad Balia Murqam yang sedang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong dan Ruby Adalia Balqis di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh ALLAH SWT untuk menempuhi ujian yang cukup besar ini," titipnya kepada SinarPlus.
Anak lelaki keluarga berkenaan, Ahmad Balia Murqam, sempat memaklumkan bahawa kali terakhir dia bertemu keluarganya adalah pada Ahad lalu ketika pulang bermalam. Malah, momen itu juga menjadi kali terakhir mereka sekeluarga berpeluang berbuka puasa bersama-sama.
ANAK YANG TERKORBAN PELAJAR MRSM BENTONG
Lebih memilukan, salah seorang anak pasangan berkenaan yang turut terkorban, Allahyarham Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, pelajar MRSM Bentong yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Khabar duka itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebook.

"Saya amat terkesan dan cukup dukacita atas insiden yang berlaku awal pagi tadi melibatkan seluruh keluarga Allahyarham Ruby Adira Batreisya, pelajar MRSM Bentong.
"Insiden sekitar jam 3.44 pagi itu melibatkan kebakaran sebuah rumah yang akhirnya meragut lima nyawa sekeluarga termasuk kedua ibu bapa pelajar.
"Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah," titipnya.
"Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga.
"MARA amat berdukacita atas insiden yang menyayat hati ini. Insya- ALLAH, pihak MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini," kongsinya.
Sementara itu, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi akan membantu pengurusan jenazah kelima-lima mangsa iaitu Mohd Alawi Mohammad 57, Zaleha Adam@Ibrahim, 45, Ruby Adira Batrisya 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 9, selepas proses bedah siasat yang dijalankan oleh pihak forensik selesai.
Sumber: Bernama, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
