BERBEZA dengan kebanyakan bintang remaja seusianya, pelakon Bella Dowanna tidak pernah meletakkan populariti sebagai misi yang ingin dikejar dalam dunia seni.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, menceburi bidang lakonan disebabkan minat mendalam dalam diri, selain mahu berkongsi bakat yang ada.

Biarpun bergelar pelakon semenjak usia kanak-kanak, namun nama Bella mula mendapat perhatian ramai selepas kemunculannya dalam filem M4M4 pada tahun lalu.

Tidak berhenti di situ, anak kelahiran Perak itu terus mencipta pengaruh menerusi beberapa drama lakonannya termasuk Hatimu Sedingin Salju, Budak Tebing, Hawa dan Budak Intern yang kebetulannya disiarkan secara berturutan di kaca televisyen (TV).

“Kalau ikutkan saya sebenarnya bermula dengan iklan komersial dan aktif seawal usia enam tahun, sebelum menceburi bidang lakonan tiga tahun kemudian.

“Alhamdulillah sekarang orang mula nampak bakat lakonan saya. Kebetulan pula sejak tahun lalu drama-drama lakonan saya disiarkan secara berturutan di TV.

“Saya tidak pernah mengikuti kelas lakonan secara formal, tetapi mungkin pengalaman berlakon menerusi pelbagai naskhah dan pengarah itu memberi kelebihan pada saya memperbaiki diri sehinggalah apa yang orang nampak hari ini,” ujarnya kepada SinarPlus.

Tidak mahu tenggelam dengan pujian diberikan, pelakon remaja yang baru sahaja menginjak keusia 18 tahun pada Mei lalu itu terbuka menerima teguran.

Bella yang banyak mendapat peluang bergandingan dengan pelakon-pelakon senior sentiasa mengambil peluang menimba ilmu daripada mereka ketika di set penggambaran.

Iklan

“Pada mulanya saya takut juga bila berlakon dengan pelakon-pelakon hebat, tetapi bila dah selalu bekerjasama saya gunakan peluang itu untuk menimba pengalaman dan ilmu dengan mereka.

“Kalau ikutkan rasa kekok juga nak bercampur dengan mereka, tetapi saya sentiasa cuba beranikan diri untuk berkomunikasi dan banyak bertanya.

“Alhamdulillah setakat ini saya sangat selesa bekerja dengan mereka yang kebanyakannya sangat baik dan suka membantu seperti Nabila Huda, Amerul Affendi, Wan Hanafi Su dan ramai lagi,” kata Bella.

Iklan

Dalam pada situasi sukar pandemik Covid-19, Bella bersyukur menerima tawaran berlakon yang tidak putus. Malah beberapa drama dan telefilem lakonannya yang telah selesai penggambaran seperti Dendam Penunggu, Bisu & Pekak, Miss Shophaholic dan Tilam Kekabu Kg Beserah kini sedang menunggu waktu siaran di kaca TV.

“Saya berlakon kerana minat dan hanya fokus pada kerja. Jadi saya tidak pernah fikirkan tentang persaingan untuk menempatkan diri dan sebagainya.

“Apa yang penting saya sentiasa jaga kualiti kerja, sikap dan disiplin diri agar perjalanan kerjaya berjalan lancar serta tidak datangkan masalah pada orang lain,” katanya yang sentiasa merendah diri.