PELAKON dan usahawan, Ben Ali meluahkan rasa syukur berkat kerja keras dan sikap tidak berputus asa telah membawa kejayaan buat dirinya.

Tidak pernah menyangka usaha yang bermula bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras, perniagaan Absolut Chocolat miliknya kini mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang.

Kilang di bawah nama Absolut Brands Sdn Bhd berkeluasan 14,000 kaki persegi itu selain menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, turut memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management

Ben Ali yang juga merupakan suami kepada pelakon Nadiyah Shahab itu mengakui bukan mudah untuk berada di tahap sekarang.

“Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri dan kami berdua melalui suka duka, turun naik. Tapi semua itu jadi kenangan dan pengalaman berharga.

“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun rezeki tak pernah salah alamat

“Pendek kata macam-macam lagilah kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalnya pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya merupakan Pengarah Urusan syarikat berkenaan,

Menurut Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, 30, selepas dua tiga hari ‘menumpang’ pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah dan menyewa sebahagian lot berdekatan LRT Cheras.

“Dalam tahun 2018, memang kami kerap berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain sehinggalah ke Medan Connaught Cheras hujung tahun sama.

“Apabila perniagaan semakin berkembang, kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama.

“Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” kata Ben.

Bagaimanapun, Ben bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan F&B dan dalam talian masih ‘bernafas’ ketika pandemik Covid-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

“Kami hantar ke rumah dan masyarakat hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu, kami menambah lagi tiga lot kedai. Ia menjadikan kesemuanya kini lima lot di Medan Connaught,” katanya.

Iklan

Apa yang membanggakan, Ben berkata, jenama yang genap tiga tahun beroperasi itu telah berpindah ke kilang sendiri pada 22 Januari (semalam).

“Kami akan meneruskan operasi di lot sedia ada buat sementara waktu. Kilang ketika ini hanya menempatkan bahagian pengurusan.

“Kami juga terbuka dan mencabar diri untuk bereksprimen dengan benda baru. Susah sebenarnya nak kekal relevan dan mengeluarkan produk unik dan lain daripada yang lain.

“Macam idea pertama kami membuat kek telur masin yang pertama di Malaysia juga awalnya menimbulkan reaksi negatif, tapi kita melawan arus dengan menghadirkan kek perisa berkenaan.

Iklan

“Memang kena kecam teruk juga pada awalnya, tapi sekarang orang sudah mula menerimanya dan wujud aliran sama di kalangan pesaing,” katanya.

Ben menambah, dia berharap tahun 2021 penuh mencabar ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya dan isteri.

“Banyak lagi yang ingin kami kecapi. Cita cita kami sendiri mahu membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa.

“Kami takkan berada di seni tanpa sokongan pelanggan tersayang. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami hingga kini,” akhirinya.