KOMPOSER lagu Berakhirlah Pencarianku, Ikhwan Fatanna meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak yang menyalahkannya apabila lagu tersebut tidak akan dinyanyikan penyanyi asal pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM37).

Berakhirlah Pencarianku yang merupakan nyanyian asal Hafiz Suip dan Ernie Zakri akan digantikan oleh Wani Kayrie dan Syafiq.

“Pertama sekali keputusan untuk artis pengganti ini bukanlah atas kuasa pencipta lagu. Saya juga hanya mengikut apa yang telah diatur dan dibincangkan oleh syarikat rakaman dan artis.

“Maaf buat semua penyokong-penyokong yang telah mengundi lagu Berakhirlah Pencarianku ini yang mahukan Ernie dan Hafiz membuat persembahan tetapi inilah ketentuan yang maha Esa.

“Mohon doakan dan beri sokongan kepada kedua-dua artis berbakat besar yang sudi menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu ini. Terima kasih Wani Kayrie dan Syafiq,” ujarnya menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya.

Menurut Ikhwan, 32, keputusan tersebut hanya diketahuinya sehari sebelum sidang media pengumuman senarai 30 buah lagu yang layak ke SFMM37 pada Jumaat lalu.

Mengakui turut bersedih dengan keputusan tersebut, Ikhwan bagaimanapun akur dengan apa yang berlaku.

“Kenapa ada yang marah saya? Saya juga turut bersedih tapi saya usaha berdamai dengan keputusan yang telah dibuat.

“Saya dah galas dan jalankan tanggungjawab menciptakan lagu untuk anda semua
sampai hati marah dan salahkan saya. Iyalah kita kerja belakang tabir saja bukan penting pun. Tak apalah reda.

“Saya dah kena dua kali. Sebelum ini dengan lagu Coretan Pilu dan tahun ini dengan lagu ini, pastinya saya kecewa. Tapi hidup ini bukan atas kawalan saya,” katanya.

Biarpun begitu, Ikhwan berkata dia menjaga hati semua pihak, terutama mereka yang bekerja keras menaikkan lagu lagu tersebut.

Iklan

“Saya menjaga hati semua orang. Peminat yang undi lagu ini, syarikat rakaman yang bantu promo dan beri peluang kerja pada saya, Hafiz dan Ernie yang juga sahabat saya, penyanyi ganti Wani dan Syafiq yang juga kawan-kawan saya.

“Jadi jagalah juga hati saya dan pencipta lagu bersama Wan Salleh serta lirik oleh Datuk A.Aida.

“lmpian pastinya melihat Hafiz dan Ernie kerana mereka yang bawa lagu ini ke tempat yang lebih baik sedangkan lagu kami hanya biasa-biasa.

Iklan

“Betul kata peminat, kalau bukan kerana Hafiz dan Ernie lagu ini tak ke mana. Saya terima dan akuinya,” kata Ikhwan.

Terdahulu, Ernie mengesahkan tidak akan menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas SFMM37, selepas dimaklumkan pihak pengurusan.

SFMM37 akan berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada 25 dan 26 November ini.