BERSEDIA mengambil apa sahaja cabaran demi memberikan lakonan terbaik, pelakon Mona Allen mengakui terlebih dahulu mempersiapkan dirinya sebaik mungkin sebelum masuk ke set penggambaran.

Apa pun watak digalas, Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, 36, tidak pernah memandang ringan dan sentiasa memperlihatkan usaha dan komitmen memberikan yang terbaik.

Begitu juga dengan apa yang ditampilkan menerusi drama terbaharu lakonannya, Hati Yang Dikhianati, sebuah karya adaptasi telenovela popular, Mis Tres Hermanas yang kini sedang bersiaran di Astro Prima, pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

Memegang watak antagonis sebagai Maria atau Margarita dalam versi asal, Mona mengakui ia tidak mudah.

“Pada awalnya apabila ditawarkan pihak Global Station untuk melakonkan watak Margarita atau Maria, saya terkejut tapi dalam masa sama teruja kerana tahu watak itu sangat mencabar menerusi versi asal Mis Tres Hermanas.

“Bagaimanapun saya tidak meniru seratus peratus watak Margarita untuk Maria, tapi membuat sedikit kelainan dengan membawa unsur kemelayuan.

“Dalam masa saya tak nak lari daripada watak sebenar Margarita kerana tidak mahu peminat setia cerita ni rasa ia tak sampai,” ujarnya.

Mengulas tentang kritikan orang ramai yang kurang senang dengan penampilannya dalam drama tersebut yang dikatakan seksi dengan pakaian menjolok mata, Mona berkata, apa yang ditampilkan itu hanya sekadar untuk menghidupkan karakter Maria sebagai penggoda.

“Sebagai pelakon, saya perlu menjayakan watak yang diberi dengan sebaik mungkin. Saya terbuka menerima kritikan itu kerana penampilan Maria memang seksi dan agresif.

“Maria berbeza dengan watak-watak penggoda atau antagonis yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Saya perlu jaga watak seksi tersebut agar ia kena dan memenuhi jalan cerita. Itulah cabaran utama saya dalam drama ini,” akuinya.

Iklan

Begitu juga dengan babak aksi melibatkan dirinya, Mona yang mula dikenali menerusi drama Monalisa itu, mengakui turut menggunakan pendekatan sama.

“Salah satu babak dalam drama ini memerlukan saya melakukan aksi terjatuh daripada lori yang sedang bergerak dan saya cuba lakukan dengan sebaik mungkin.

“Babak itu mencabar kerana saya perlu buat aksi tersebut di tengah panas terik dan mesti betul-betul terjun. Tiada tilam dan memang ia aksi sebenar.

“Bukan senang nak buat babak tersebut kerana ia merupakan adegan yang panjang dan saya perlu bermain dengan emosi,” jelasnya mengharapkan agar drama tersebut diterima ramai.

Iklan

Ditanya tentang reaksi suaminya, pelakon Pekin Ibrahim, terhadap pendekatan dan komitmennya dalam lakonan, akui Mona, dia diberikan sokongan sepenuhnya.

“Alhamdulillah, sebagai seorang pelakon, pengarah dan penerbit, suami faham apa yang saya lakukan dan sentiasa memberikan sokongan.

“Dia tahu saya perlu penuhi apa yang dituntut dalam karakter dan memberikan yang terbaik kerana dia juga menggunakan pendekatan sama dalam lakonannya,” akhiri Mona.