TIDAK hanya menggunakan pengaruh dan populariti dimiliki untuk menarik generasi seangkatan mengikuti perkembangannya dalam bidang seni suara, penyanyi rap sensasi kumpulan K-Clique, MK turut membawa misi berbeza.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin, 24, berkata, selain memberi hiburan, dia juga mahu menggunakan kedudukannya sebagai figura dikenali ramai untuk memberikan pengaruh positif pada generasi muda.

Membenarkan kara-kata tersebut, selebriti kelahiran Sabah itu kini memikul tanggungjawab sebagai duta pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI Group Sdn Bhd, sejak awal Januari lalu.

“Saya percaya tanggungjawab digalas itu datang dengan amanah yang besar dan murni.

“Saya ‘dirisik’ pihak PTTI sekitar Oktober tahun lalu. Ketika itu pun saya sudah mula diundang pihak berkenaan sebagai panel jemputan bersama teman artis lain.

“Ketika itu fungsi dan peranan saya lebih kepada memberi semangat dan mendorong calon SPM 2020 yang berdepan pengalaman dan cabaran berbeza di era pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Menurut MK, dia mula memeterai perjanjian bersama pusat akademi itu pada hujung tahun lalu. Terdahulu, pelakon Mira Filzah juga menggalas tanggungjawab sama.

“Dalam hati saya terdetik kenapa pihak PTTI berkenan mengambil saya sebagai duta mereka kerana pada ketika itu saya percaya ada calon lain lebih baik berbanding diri sendiri.

“Bagaimanapun, rezeki itu tidak pernah salah alamat dan amanah ini saya akan galas sebaik mungkin.

“Mungkin juga saya ada pencapaian dan sedikit pengaruh yang boleh mendekatkan PTTI dengan generasi masa kini terutama pelajar SPM,” katanya yang bergelar duta pusat akademik itu selama setahun.

MK merupakan selebriti yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan remaja dan perkembangan seninya bersama kumpulan K-Clique juga sering menarik perhatian daripada golongan ini.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dengan nama Cikgu Fana berkata, pemilihan MK sebagai duta seiring dengan aura, personaliti dan pengaruh dimilikinya.

“Sebagai pusat akademik yang khusus kepada pelajar SPM, kami optimis kehadiran MK boleh terus mendekatkan kami dengan golongan sasaran.

“Kita sedar, pesonanya dalam kumpulan K-Clique cukup hebat dan berpengaruh. Apa saja yang dikongsinya mendapat perhatian ramai.

Iklan

“Malah kita mempertimbangkannya dengan pelbagai faktor tambahan di mana MK ada sesuatu yang boleh digunakan untuk manfaat, tujuan dan contoh positif terutama di saat isu pendidikan kini berdepan cabaran getir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MK kini sibuk mempromosikan kolaboratif pertamanya bersama penyanyi rap terkemuka tanah air, Joe Flizzow dan bintang rap Korea Selatan, Jay Park, menerusi single Ciao.

Semenjak dilancarkan pada 22 Januari lalu, muzik video lagu tersebut meraih lebih tiga juta jumlah tontonan.