SELEPAS menjuarai program Dansa Dan Sing (DDS) terbitan Astro pada Januari lalu, penyanyi Sophia Liana berjaya membina jenamanya sendiri.

Jika sebelum ini dia sekadar dikenali sebagai anggota kumpulan DeFam, Sophia kini tampil secara solo membuktikan bakat versatil yang ada pada dirinya.

Menerusi single solo pertamanya, Ngam yang dilancarkan pada Mac lalu, nama penyanyi yang cukup lincah di pentas ini semakin hangat diperkatakan.

Apatah lagi single Ngam dihasilkan untuk projek khas Joox Originals yang dibawakan platform penstriman muzik serantau Joox.

Malah muzik video rasmi Ngam yang turut menampilkan kru tariannya dalam DDS iaitu Budak Ngam, berjaya mencapai hampir 600 ribu tontonan sejak dimuat naik pada Julai lalu.

Tidak mahu menunggu lama untuk tampil dengan karya baharu, Sophia yang juga aktif sebagai pencipta lagu itu tampil dengan single solo keduanya berjudul, Dulu yang dihasilkan bersama adiknya, Fadzril Asyraf.

“Menerusi single ini, saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Bukan sahaja dari segi penyampaian, tetapi ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang.

“Malah lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu.

“Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past,” ujarnya.

Single Dulu cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.

Lagu itu juga membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan.

“Saya berharap single Dulu ini mendapat sambutan positif daripada pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu, sudah pun berlalu.

Iklan

“Apa yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” jelas Sophia lagi.

Penglibatan Sophia dalam bidang penulisan lagu dan lirik, sebenarnya bukanlah asing buat dirinya kerana sebelum ini pernah beberapa kali berkongsi karyanya dalam bidang itu.

Antaranya menerusi single pertama DeFam iaitu Supergirls, Assalamualaikum dan Mulut, nyanyian Faizal Tahir, selain #pastiCLEAR yang juga merupakan lagu kempen pengiklanan rangkaian produk syampu Clear.

Begitu juga dengan single Ngam yang dihasilkan bersama Fadzril, Faizal Tahir, Mambang dan Navigator.

Iklan

Mahu mengulangi kejayaan single terdahulu, Sophia mengakui menaruh harapan tinggi terhadap single baharu itu.

Lagu Dulu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia itu boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 9 Oktober lalu.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)