SIKAP tidak berkira dan suka memberi lebih daripada apa yang diminta menjadikan banyak pihak yang selesa dan suka bekerjasama dengan selebriti versatil, Datuk Aznil Nawawi.

Bukan sahaja dalam kerja-kerja seni, bahkan Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, terus menjadi pilihan bergelar duta makanan kesihatan Eskayvie untuk tahun ketiga.

Tidak pernah mendabik dada dengan reputasi yang dimiliki, Aznil berkata, prinsip dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu kerja menjadi antara sebab kenapa dirinya masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Saya selalunya akan memberikan lebih daripada apa yang saya tandatangani. Saya akan buat lebih dan tidak berkira walaupun mungkin ia tiada dalam kontrak. Prinsip saya begitu sejak sekian lama.

“Ketika bergelar wartawan penyiaran dulupun, saya menggunakan pendekatan sama. Saya bukan hanya menyediakan bahan, tetapi saya edit sendiri, buat voice over dan sebagainya. Pendek kata, mesti lebih daripada apa yang diminta.

“Sebagai duta Eskayvie pula, saya tidak hanya terhad kepada kerja-kerja promosi sahaja, tetapi turut melibatkan diri dalam penambaikkan produk dengan memberikan idea dan saranan,” katanya yang turut menerima hadiah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard daripada Eskayvie sebagai tanda penghargaan.

 

Bintang yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya itu ditemui ketika majlis pelancaran produk terbaharu Eskayvie, i-Qids, baru-baru ini.

Mahu tinggal di Mekah

Dalam pada itu, Aznil, 60, mengakui selesa menjalani kehidupannya kini yang sentiasa positif. Malah bapa kepada dua anak itu juga sentiasa mempromosi gaya hidup sihat kepada masyarakat.

“Walaupun sibuk dengan kerja, saya akan pastikan sentiasa menjalani gaya hidup yang sihat. Sentiasa cukup tidur lapan jam, mengambil makanan berkhasiat, buat exercise, tidak merokok dan selalu juga puasa.

Iklan

“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan dan bersyukur tidak jatuh sakit pada usia sekarang.

Aznil bersama pengasas produk Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri dan Kartika Wati pada majlis pelancaran i-Qids baru-baru ini.

“Paling penting juga saya tidak difitnah, terlibat dengan kontroversi, tidak aibkan keluarga dan diri sendiri. Pada saya itu juga mungkin strategi perjalanan saya untuk ‘berehat’ selepas ini,” luahnya.

Biarpun dilihat masih aktif bekerja pada ketika ini, Aznil mengakui mempunyai perancangan untuk berehat daripada bidang seni apabila tiba waktunya.

Iklan

“Memang saya mempunyai impian untuk berehat, apatah lagi umur saya pun kini sudah di ‘hujung-hujung’. Nabi S.A.W wafat pada usia 63, arwah bapa saya juga begitu, manakala abang saya ketika berusia 65 tahun.

“Jadi saya pun sudah menghitung hari sebenarnya. Impian dan doa saya bila sudah bersara kelak, saya mahu tinggal di Mekah dan meninggal dunia di sana.

“Cuma buat masa ini, kehadiran dan khidmat saya masih diperlukan. Jadi saya bekerja seperti biasa untuk membantu dan menghiburkan orang ramai sehingga tiba waktunya,” katanya yang menerima Anugerah Khas MeleTOP, Anugerah MeleTOP Era (AME2021) pada Ahad lalu.