KONSERT kumpulan Ungu yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 November ini ditunda ke Disember depan ekoran pertembungan dengan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganjur konsert, Star Planet memaklumkan, konsert tersebut dijadualkan semula ke tarikh 26 dan 27 Disember 2022 (19 November kepada 26 Disember dan 18 November kepada 27 Disember).

Ujar penganjur tersebut dalam satu kenyataan, tempat dan masa kekal tanpa sebarang perubahan.

“Perubahan tarikh ini adalah suatu keputusan selaras perintah daripada Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) agar semua persembahan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 19 November di Kuala Lumpur dibatalkan memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” ujarnya.

Tambah wakil syarikat itu lagi, semua tiket yang telah dikeluarkan akan dibatalkan secara automatik dan tiket baharu akan dikeluarkan buat para pembeli.

Bagaimanapun, bagi yang berminat untuk mendapatkan pemulangan wang, boleh berbuat demikian sebelum 16 November ini.

“Pembeli tiket dinasihati untuk menyemak semula emel pengesahan pembelian tiket untuk mendapatkan tiket yang telah dikemaskini dengan tarikh baharu selepas 25 November 2022.

Iklan

“Wang akan dikembalikan kepada pembeli tiket yang tidak dapat menghadiri konsert pada tarikh terkini.

“Permohonan pemulangan wang boleh dilakukan secara pengisian borang melalui https://starplanet.com.my/2022-2/ungu-refund/ sebelum atau pada 16 November 2022 untuk proses pulangan semula dilakukan.

Iklan

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan ingin berterima kasih kepada pengamal media dan para peminat Ungu atas sokongan dan dorongan mereka,” jelas Star Planet.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Star Planet di talian +603 92233667 atau layari laman web www.starplanet.com.my.