MENAMATKAN kontroversi yang menjadi bualan hangat pada minggu lalu, komposer terkenal yang juga juri tetap Big Stage 2020, Ajai tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada salah seorang peserta yang bertanding, Hafiz Zainal, pada konsert mingggu kedua yang berlangsung semalam.

Gara-gara memberikan hanya dua markah beserta komen pedas terhadap persembahan peserta tersebut ketika menyampaikan lagu Fly Me To The Moon, Ajai atau nama sebenarnya Faizal Maas, 45, menerima kecaman ramai termasuk mempertikai kredibilitinya sebagai penyanyi dan juri sehingga trending di Twitter.

Tidak mahu memanjangkan perkara tersebut, Ajai yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik membuat kejutan dengan memohon maaf kepada peserta terbabit secara bersemuka di atas pentas sebelum persembahan konsert minggu kedua dimulakan.

“Tujuan saya di sini (sebagai juri) bukan nak hentam semua orang. Cuba fikir positif di mana kamu mempunyai masa yang singkat 7-8 minggu sahaja dan saya tak nak kamu bagi ruang dan selesa.

“Saya akui tersalah perkataan. Mungkin itu adalah cara dan prinsip saya apabila menjurikan sesuatu pertandingan kerana saya begitu peka pada bunyian dan teliti pada setiap not lagu.

“Di sini saya ingin meminta ampun dan maaf jikalau saya ada terkasar bahasa tapi percayalah tujuan saya adalah untuk melihat budak-budak muda seperti ini, apabila keluar mereka akan jadi evergreen,” ujarnya.

Bagaimanapun Ajai dalam masa sama, menegaskan akan tetap berdiri dan berpegang kepada prinsip penjuriannya.

“Biar saya dicaci, dihina atau dihentam, tapi sebagaimana saya cakap, hanya jauhari mengenal manikamnya.

Iklan

“Saya tetap berpegang pada prinsip di mana saya inginkan peserta-peserta Big Stage apabila keluar, mereka tahu bagaimana cara menyanyi dengan betul dan ‘view’ mereka setanding dengan bakat mereka.” tegasnya.

Tindakan Ajai itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada penonton di media sosial. Ada yang menyokong dan ada juga yang menyifatkan komposer berkenaan tidak perlu berbuat demikian untuk memuaskan hati pihak lain.

Iklan

Selain Ajai, Big Stage 2020 turut menampilkan Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir sebagai juri tetap.

Program yang  sudah memasuki musim ketiga itu dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad dan  disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (124) serta Ria HD (104), setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 16 Ogos lalu.