Bila-bila masa sahaja ALLAH boleh tarik nyawa kita - Fazli Zainal
HAMPIR sebulan bertarung nyawa di Hospital akibat Covid-19, tentunya menjadi detik yang tidak akan dilupakan penyanyi Fazli Zainal seumur hidupnya.
Tidak pernah menyangka situasi tersebut akan dilaluinya, Fazli meluahkan rasa syukur apabila diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan, biarpun pada satu ketika merasakan kematian begitu hampir dengannya.
Fazli, 44, disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai lalu sebelum dikejarkan ke hospital Ampang, tiga hari kemudian berikutan paras bacaan oksigen dalam badannya rendah.
“Syukur alhamdulillah, ALLAH bagi peluang kedua untuk hidup. Saya sendiri tidak menyangka kembali sihat kerana keadaan saya ketika di hospital sangat teruk.
“Malah pada hari pemergian Allahyarham Siti Sarah dan ketika berita itu disampaikan kepada saya menerusi ‘tag’ di laman media, saya menjadi takut serta mengalami sesak nafas teruk sehingga perlu ditiarapkan.
“Ketika itu terdetik dalam hati saya, sekejap lagi mungkin tiba giliran saya pula untuk pergi,” katanya ketika ditemui sidang media secara maya single Mantan Yang Terluka baru-baru ini.
Kini setelah bebas daripada jangkitan virus berbahaya itu, Fazli bertekad untuk lebih menghargai kehidupan dan menjadikan dirinya lebih baik daripada sebelum ini.
“Ketika berada di hospital saya melihat sendiri kematian berlaku sekelip mata membuatkan saya sedar, bila-bila masa sahaja ALLAH boleh tarik nyawa kita.
“Banyak perkara yang mengubah saya sepanjang tempoh berada di hospital termasuk keinginan untuk mendekatkan diri dengan ALLAH.
"Jika sebelum ini saya tidak lengkap solat, sekarang dalam keadaan terlantar pun saya pastikan untuk menunaikan kewajipan itu.
“Saya mahu menyebarkan kebaikan selagi saya masih hidup. Memaafkan semua orang dan mengharapkan mereka juga melakukan hal sama pada saya,” katanya.
Berkongsi keadaan terkini kesihatannya, Fazli berkata, dia baru sahaja dibenarkan keluarkan hospital seminggu lalu dan mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Menurut kata doktor keadaan paru-paru saya terjejas sehingga 75 peratus. Jadi ia mengambil masa beberapa bulan untuk kembali pulih. Sebelum ini pun saya kehilangan suara yang teruk, tapi alhamdulillah kini beransur baik.
“Saya mohon orang ramai doakan saya agar segera pulih seperti biasa dan meneruskan kehidupan dengan peluang kedua yang diberikan ini sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fazli bakal tampil dengan single terbaharunya, Mantan Yang Terluka yang akan dilancarkan pada 10 September depan.
Menurut Fazli, lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Fedtri Yahya itu merupakan kerjasama di bawah projek Inisiatif Seni Kreatif Muzik (ISK), Wake The Baby dan Universal Music Malaysia.
“Lagu ini sebenarnya sudahpun dirakam pada Julai tahun lalu dan kami memang merancang untuk rilis pada tahun ini. Cuma kebetulan saya pula terkena jangkitan Covid-19.
“Walaupun baru sahaja sembuh, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk lagu ini rilis kerana ia umpama penyambung nyawa saya dalam kerjaya seni selepas lama tidak tampil dengan lagu baharu.
“Untuk itu saya mengambil inisiatif mendapatkan bimbingan daripada guru vokal, Cikgu Delly di bawah pemantauan Datuk Syafinaz Selamat,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang