BINTANG utama Black Panther, Chadwick Boseman, 43, meninggal dunia pada Jumaat di Los Angeles akibat kanser usus.

Berita menyedihkan itu disahkan wakil kepada pelakon itu, Nicki Fioravante, lapor AP.

Boseman sebelum ini disahkan menghidap kanser usus sejak empat tahun lalu.

Mendiang berada bersama isteri dan ahli keluarganya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, ahli keluarga Boseman mengesahkan perkara itu melalui akaun twitter rasminya @chadwickboseman.

“Chadwick telah disahkan menghidap kanser usus tahap tiga pada 2016 dan terus berusaha melawannya apabila penyakit itu mencapai tahap empat.

Iklan

“Sebagai seorang pejuang sejati, Chadwick menghadapinya dengan tabah, dan membawa kepada anda filem-filem yang anda gemari.

“Dari Marshall ke Da 5 Blood, August Wilson’s Ma Rainey’s Black Bottom dan banyak lagi, semuanya dirakam ketika beliau bertarung dengan siri-siri pembedahan dan kemoterapi,” menurut kenyataan itu lagi.

Iklan

Boseman pernah melakonkan watak ikon kulit hitam Jackie Robinson dan James Brown sebelum dikenali ramai melalui watak Black Panther atau Raja T’Challa melalui Marvel Cinematic Universe.