BERKONGSI misi sama untuk menghiburkan orang ramai, tiga sahabat iaitu Art Fazil, Imuda dan Baba Andy (Flop Poppy) kini tampil berkolaboratif dalam single berjudul, Jam!

Karya yang mengangkat irama blues gaya old school itu menyuarakan keluhan tentang kesesakan jalan raya yang sering menghantui penduduk kota secara santai dan berseloroh.

Menurut Art Fazil, idea merakam lagu Jam! sudah lama tercetus, bagaimanapun rakamannya hanya berjaya disempurnakan pada penghujung tahun 2019 disebabkan komitmen mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Menaruh keyakinan tinggi terhadap single tersebut, Art Fazil percaya, Jam! mudah diterima ramai kerana rentaknya bersahaja, selain senikata yang ‘catchy’ dan mudah diikuti.

“Lagu ini terilham daripada pengamatan saya tentang keadaan hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur.

“Idea lagu ini juga saya ambil daripada perbualan harian teman-teman warga kota yang sering mengeluh tentang keadaan trafik terutama di waktu pagi dan menjelang malam,” ujarnya.

Mahu merealisasikan karya tersebut dengan sebaiknya, Art Fazil memilih untuk bekerjasama dengan dua sahabatnya, Imuda dan Baba Andy.

“Saya memilih Imuda dan Andy kerana mereka adalah artis yang ada elemen cool dan street cred.

“Imuda terkenal dengan identiti sebagai seorang pelukis, pemain muzik blues dan pelawak, manakala Andy pula adalah seorang pemuzik multi-instrumentalist.

“Bass dalam lagu ini dimainkan oleh Andy sendiri dan harmonika pula oleh Imuda,” katanya.

Sementara itu, Baba Andy yang sebelum ini dikenali sebagai vokalis kumpulan Flop Poppy, mengakui tertarik dengan genre blues yang diketengahkan dalam lagu itu.

“Lagu ini membuatkan diri saya keluar dari zon selesa. Lain daripada kebiasaan saya.

Iklan

“Selain itu, saya dapat bekerjasama bersama Art Fazil dan Imuda. Mereka adalah sahabat dan lagenda buat diri saya,” ujarnya.

Senada dengan Baba Andy, Imuda menganggap single Jam! sebagai memenuhi cita rasa muzik bluesnya.

Malah pengalaman menjayakan muzik video lagu tersebut juga cukup menyeronokkan buat Imuda.

“Ketika penggambaran muzik video Jam!, memang betul-betul ada ‘jam’. Satu hari suntuk kami menyanyi dan merasai ‘kesesakan’ bersama-sama.

Iklan

“Kami dengan selambanya duduk di belakang kereta itu, keliling satu Kuala Lumpur dan semua orang tengok, malah ada juga yang ekori kami,” kongsi Imuda.

Muzik video Jam! yang kini boleh ditonton di YouTube Moro Records itu menyaksikan mereka bertiga menyanyikan lagu tersebut secara santai di belakang sebuah pacuan empat roda yang mengelilingi Kuala Lumpur ketika kesesakan lalu lintas.

Berkongsi tentang harapan single Jam!, tiga sahabat itu mengharapkan agar lagu tersebut dapat berkumandang di mana-mana, sekali gus menghiburkan orang ramai.

“Kami berharap lagu ini dapat diputarkan setiap pagi di radio kerana rentak muzik yang rancak dan sesuai untuk dinikmati warga kota yang terperangkap dalam jam selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tatkala dunia telah pulih dari pandemik,” katanya.