PENYANYI Ara Johari berdepan dengan situasi tidak terjangka apabila dicium oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas selesai menjayakan satu persembahan di Nilai, Negeri Sembilan, pada Ahad.

Jelas Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, lelaki itu bertindak menarik dan mengenggam kuat tangannya sebelum mencium sebanyak dua kali.

“Ada seorang lelaki datang pada saya untuk bergambar dan ketika itu ada ahli keluarga dan pembantu peribadi saya di situ. Selepas ambil gambar, dia buat hal sendiri dan saya sambung berbual dengan ibu saya.

“Kemudian dia datang semula untuk bersalam dan saya mula rasa tidak selesa kerana saya jarang bersalam dengan lelaki tidak dikenali.

“Saya ingatkan lelaki itu akan beredar selepas bersalam, tetapi dia masih ada di situ. Disebabkan rasa tidak selesa, saya minta adik untuk ambil kereta dan beredar.

“Ketika nak bergerak ke kereta, dia datang semula dan fist bump (laga penumbuk) dengan pembantu peribadi saya. Jadi saya sangka dia nak buat perkara sama dengan saya.

“Ternyata dugaan saya salah apabila dia terus menarik tangan saya dan mengenggam dengan kuat serta mencium tangan saya dua kali. Bukan cium biasa, sebaliknya cium bersungguh,” cerita Ara menerusi Insta Story miliknya.

Antara tangkap layar momen cemas yang dilalui Ara.

Tambah Ara, 26, dia cuba untuk menarik kembali tangannya namun tidak berjaya kerana lelaki berkenaan bertindak memegang tangannya dengan kuat.

“Selepas berbuat demikian, lelaki berkenaan terus melarikan diri, tapi saya sempat memukul belakangnya sebelum menjerit.

Iklan

“Pembantu peribadi dan beberapa orang awam cuba mengejar tetapi dia hampir terlepas kerana berjaya melintas jalan. Bagaimanapun jeritan saya telah menarik perhatian orang awam di seberang jalan dan mereka membantu menangkap lelaki terbabit,” jelasnya yang bertindak membuat laporan polis sebaik kejadian itu.

Peringatan

Berterima kasih kepada individu yang membantunya semalam, penyanyi lagu Bunga itu turut mengingatkan kaum wanita untuk lebih berhati-hati.

“Pengajaran dari cerita ini, wanita di luar sana, tolonglah lebih berhati-hati. Terutamanya public figure sebab kita tak tahu niat orang dekat kita,” ujarnya yang turut meminta bantuan anggota polis untuk memadamkan semua gambarnya daripada telefon bimbit lelaki terbabit.

Iklan
Ara turut mengingatkan selebriti lain dan kaum wanita terutamanya untuk lebih berhati-hati. Tidak berdiam diri, Ara membuat laporan polis malam sama.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kejadian itu dan seorang lelaki telah ditahan selepas dikatakan mencabul kehormatan penyanyi wanita selepas selesai membuat persembahan pada satu acara di Dataran Nilai.

Abdul Malik berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niathendak mencabul kehormatan.

“Suspek seorang lelaki warga tempatan yang tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan permohonan reman diluluskan selama tiga hari mulai hari ini,” katanya.