PENYAMPAI radio Suria FM, DJ Lin memohon orang ramai agar mendoakan ibunya, Hajah Puteh Jantan, 80 tahun, yang kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru sejak jumaat lalu akibat keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Menurut DJ Lin atau nam sebenarnya, Roslinda Abdul Majid, keadaan ibunya semakin terjejas apabila tangan dan kaki kirinya membengkak dan meninggalkan kesan lebam yang teruk.

“Ibu ada masalah buah pinggang sejak lima tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis. Lebih parah lagi apabila lengan kiri yang digunakan untuk proses dialisis mengalami jangkitan kuman yang serius dan ia tak dapat lagi digunakan.

“Meskipun tapak dialisis baharu telah pun berjaya dibuat di lengan sebelah kanan namun ia masih belum boleh digunakan disebabkan tekanan darah yang terlalu rendah.

“Buat sementara waktu ini, Ibu terpaksa menjalani dialisis menggunakan peha kanan,” jelasnya.

Dalam masa sama Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular sebanyak empat kali itu mengakui bimbang apabila bacaan sel darah merah Ibunya pada hari ini mula mencatatkan penurunan ketara iaitu ke paras lima peratus (%) sahaja sedangkan lumrah manusia kebiasaannya mencatatkan bacaan minimum 10% ke atas.

Tambahnya, proses tambah darah akan dilakukan dalam usaha doktor untuk mengatasi masalah tersebut.

Keadaan terkini ibu DJ Lin.

Perkongsian video tentang keadaan terkini ibunya di laman sosial media turut menarik perhatian peminat serta rakan-rakan selebriti yang turut mendoakan dan memberikan kata-kata positif buat Dj Lin dan keluarga.

Iklan

“Semalam (Ahad) ibu tidur lebih dari tujuh jam, beliau tak terdaya untuk membuka mata apatah lagi untuk makan dan minum.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan, alhamdulillah syukur kepada Illahi, hari ini keadaan kesihatan ibu mula menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Meskipun masih bimbang dengan keadaan ibunya, penyampai program Suria Cinta itu memberitahu, dia terpaksa bergegas pulang seketika ke Kuala Lumpur pada Selasa, untuk menerima Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia bagi tahun ini.

Iklan

Anugerah yang akan berlangsung di Hotel Grand Hyatt anjuran majalah antarabangsa, Reader’s Digest itu dipilih berdasarkan hasil undian pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada tahun lalu, anugerah sama turut dimenangi DJ Lin.

(FOTO: Instagram DJ Lin)