Bunga Isme intai peluang kerjasama dengan Yuna
NAMA Noor Ayu Fatini barangkali masih asing buat segelintir peminat industri seni. Namun jika disebut nama Bunga Isme atau gadis rap berbaju kurung, pasti ada yang mengenalinya.
Apatah lagi gadis berusia 20 tahun itu sebelum ini telah berjaya mencuri tumpuan dunia apabila muncul dalam artikel The New York Times dan sebuah video daripada Bloomberg ketika membuat persembahan nyanyian rap dengan berbaju kurung dan berhijab.
Mendekati siswazah Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3 itu, Bunga berkata sebenarnya dia menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli politik atau peguam.
Namun siapa sangka apabila bakatnya dalam bidang nyanyian disedari penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow yang mengajaknya menyertai 16 Baris.
Bukan itu sahaja, dia turut mendapat kepercayaan Kabir Bhatia untuk membintangi filem televisyen (FTV) terbaharu yang bersiaran di Astro Firts Eksklusif sejak 13 Ogos lalu, Aku, Bunga.
Selain Bunga, antara lain yang membintangi FTV Aku, Bunga itu adalah Ben Amir, Naim Daniel dan Aman Graseka.
“Semestinya saya rasa bersyukur kerana saya tak pernah sangka atau jangka untuk masuk dalam industri muzik ini, apatah lagi untuk menjadi pelakon.
“Bagi saya apa yang penting adalah kita tahu limit kita di mana dan tidak jemu untuk belajar agar menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Aku, Bunga di MBO Starling, Damansara baru-baru ini.
Biarpun tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon, Bunga berkata, ia bukan halangan buatnya mencuba sesuatu yang baharu apatah lagi tawaran itu datang bergolek tanpa disangka.
“Saya tak pernah pergi mana-mana sesi uji bakat, jadi bila ditawarkan untuk berlakon di bawah Kabir dan perjalanan kisah Bunga itu ada persamaan sedikit dengan saya, mengapa saya perlu tolak,” ujarnya yang turut mengikuti kelas lakonan sehari bersama seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.
Sementara itu ditanya perancangan lanjut dalam industri seni, Bunga berkata, dia juga menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna.
“Selepas kisah saya disiarkan di luar negara tahun lalu, Yuna ada mengucapkan tahniah dan mengikuti akaun Instagram saya,” jelasnya yang baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Holiday Haji Tom.
[embed]https://youtu.be/dhGyVlUIv_I[/embed]
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang