BINTANG serba boleh yang begitu dihormati ramai, Sabri Yunus mempunyai dimensi tersendiri dalam setiap karya dihasilkannya sehingga mendapat perhatian ramai.
Terdahulu, karya beliau, Pok Ya Cong Codei (2018) yang disiarkan di saluran Astro Mustika dan Astro Citra telah mendapat sambutan luar biasa dan tular di media sosial kerana hangat diperkatakan oleh penonton dalam dan luar negara.
Bukan itu sahaja, karya lain seperti Sangul Beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Kita Bukan Anjing dan Che Pa turut membuktikan Sabri Yunus sebagai seorang pengarah yang sentiasa perjuangkan karya berkisarkan adat dan kebudayaan serta sarat dengan mesej-mesej kerakyatan.

Kini, beliau kembali dengan buah tangan terbaharu iaitu filem Butak yang akan terus ke pawagam rumah anda, Astro First, saluran 480 mulai 8 Oktober.
Padat dengan mesej positif, Butak mempertaruhkan pelakon remaja yang juga pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2016, Izuan Fitri sebagai tunggak utama.
Kali ini dia tonjolkan sisi berbeza daripada penampilannya dalam filem One Two Jaga dan Munafik.
Bukan itu sahaja, Butak menggabungkan pelakon-pelakon hebat seperti Bohari Ibrahim, Kaza Saisi, Imuda, Khatijah Tan, Laila Nasir, Fimie Don, Melly Amalin, Saidi Sabri, Azman Hassan, Fazli Daniel Ali, Adrenna Rose, Omar Hj Abdullah, Ahmad Nizam Bahari. Sabri Yunus juga turut membuat penampilan sebagai Pak Man.
Butak mengisahkan tentang Butak yang nakal tetapi cerdik. Penduduk kampung sering mengadu kekecohan yang Butak lakukan di kampungnya itu.
Sehinggalah satu peristiwa yang meruntun hatinya, Butak merajuk dan nekad untuk lari dari rumah.

Kisah yang Butak sering dengar tentang ibadat Haji membawanya ke Pelabuhan Penang. Terdetik di hatinya untuk menaiki kapal merasai pengalaman itu sendiri. Sujud di depan Kaabah memohon maaf di atas kesilapannya yang lalu dan berubah menjadi seorang yang lebih baik.