Oleh: Delly Darlina Dimyati

TELATAH Datuk Redzuawan Ismail atau terkenal sebagai Chef Wan menguruskan seekor kucing betina bunting yang akhirnya melahirkan tujuh ekor anak di atas katil empuk di salah satu bilik kediamannya, mendapat perhatian netizen dan pencinta haiwan.

Paling lucu, Chef Wan memanggilnya sebagai Cik Kiah Propa.

Video berdurasi 3 minit 12 saat itu mencuit hati, kerana kita tahu Chef Wan seolah-olah berdrama dengan Cik Kiah tentang set penyediaan rawatan berpantang Melayu seperti kain bengkung, air ibu kunyit, minyak urut, bunga-bungaan dan pelbagai lagi.

“Sebagai anak sulung, saya yang menjaga ibu ketika berpantang. Begitu juga ketika arwah bekas isteri saya berpantang ketika melahirkan Riz dan Serina.

“Waktu Serina melahirkan anak-anaknya, dia juga berpantang di rumah saya. Saya dan arwah bekas isteri yang menjaganya,” tulisnya di Instagram.

Baca juga [VIDEO] Begini Caranya Bagi Kucing Ubat. Doktor Veterinar Tunjuk Step By Step, Confirm Tak Melawan

Sebab itu, urusan tentang cara berpantang dan peralatan berpantang, bukan sesuatu yang asing bagi Chef Wan.

Sungguhpun video itu mendapat kritikan daripada segelintir penonton, namun Chef Wan mengaku rakaman video itu dibuat adalah sebagai memori dan untuk tujuan perkongsian di Instagramnya semata-mata.

Selepas itu, mereka telah membersihkan tempat berpantang Cik Kiah sebagaimana asalnya.

Cik Kiah memang bertuah. Apa tidaknya, peminat Chef Wan begitu susah hendak berjumpa chef selebriti terkenal ini, tapi Cik Kiah dan anak-anaknya dengan mudahnya mendapat kasih sayang dan penjagaan istimewa daripada Chef Wan.

Menyorot bagaimana Cik Kiah boleh berada di situ, Chef Wan dalam laman Instagramnya berkongsi cerita.

Baca juga Kucing Mengiau Hint Sedang Bercakap Dengan Manusia, Layanlah Dengan Baik

Iklan

“Lama saya perhatikan gerak-geri ada seekor kucing betina bunting, berlegar-legar di dalam taman rumah saya. Perutnya juga nampak besar, seolah-olah menunggu masa untuk melahirkan. Nampak lapar benar dia. Simpati pula rasa hati ni.

“Lalu saya angkat dan membawanya ke balkoni untuk diberikan makanan basah, kibbles dan minuman. Saya rasa biarlah saya jaga dia buat buat masa ini. Sekurang-kurangnya dapat dia makan, minum sementara menunggu dia beranak. Saya pun turut menunggu pemiliknya datang, mana lah tahu mereka juga sedang mencarinya,” tulisnya.

Chef Wan telah sedia ada membela tiga ekor kucing; Chef Pet, Neil dan Jade. Justeru dia telah terbiasa menguruskan kucing.

Aura sebagai pencinta kucing yang sangat kuat dalam dirinya, membuatkan kucing bunting itu kelihatan tidak kekok bermanja dengan Chef Wan.

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by chef wan (@_chefwan58)

Ternyata dalam kesibukannya mengurus diri, keluarga dan bisnes Chef Wan Cafe, dia masih punya masa untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang.

Kini kediamannya itu tambah meriah dengan kehadiran Cik Kiah, dan anak-anak Kiah yang diberikan nama bahan-bahan masakan dapur; Kunyit, Belacan, Kayu Manis, Asam Jawa, Pelaga, Cengkih dan Bunga Lawang.

Katanya, lebih mudah nak mengingat nama tersebut yang diberi berdasarkan warna pada bulu anak-anak kucing barunya.

Sumber: Instagram @chefwan58