SELAMA tiga tahun menyimpan rapi rahsia penyakit misteri putera kesayangannya, biduanita Uji Rashid, akhirnya membuat pendedahan eksklusif mengenai kisah malang yang menimpa anaknya yang juga pelakon, Cico Harahap, 41.

Menerusi program Telekung Talk yang merungkai topik Jawapan atau Ujian?, bersiaran selama 1 jam di platform Facebook  Muhayya Momentum dan serentak di akaun peribadi Datuk Dr Prof Muhaya jam 5 petang semalam (Khamis), penyanyi terkenal dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu mendedahkan Cico bukanlah disihir, sebaliknya telah diracun oleh beberapa individu ketika menghadiri sebuah majlis hari jadi tidak lama dulu.

“Buat pertama kali saya mendedahkan perkara ini secara terbuka. Terdapat pelbagai versi cerita dan desas- desus mengenai keadaan anak saya.

“Sebenarnya Cico bukanlah disihir tetapi diracun oleh rakan-rakannya. Menurut doktor beberapa jenis racun telah dicampur ke dalam gelas minumannya.

“Racun yang diberi itu sebenarnya boleh membunuh dalam masa empat jam, tetapi dengan kuasa Allah SWT, Cico masih diberikan umur yang panjang sampai hari ini,” katanya.

Uji ketika berkongsi cerita bersama Prof Muhaya menerusi program Telekung Talk, petang Khamis.

Tambah Uji lagi, melalui cerita yang disampaikan kepadanya, Cico rebah sebaik minum minuman itu dan ditinggalkan tanpa bantuan. Sehingga kini beliau tidak tahu siapa yang menghantar anaknya pulang ke rumah.

“Saya masih ingat Cico muntah-muntah dan wajahnya dipenuhi darah. Berhari-hari dia terlantar sakit di atas katil. Masa itu saya hanya berserah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT.

“Satu hari Cico bangun tetapi dia hanya diam apabila ditanya. Dia tidak kenal saya mahupun anaknya sendiri. Bila ditanya doktor siapa nama, dia jawab Pikee.

“Saya difahamkan racun itu memberikan kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya. Walau apapun, saya bersyukur Cico sudah semakin pulih, meskipun dia kini mengalami masalah pertuturan, tidak lagi mampu membaca dan menulis dengan baik,” katanya.

Uji bersama Cico dan cucunya. Biarpun nampak sihat, Cico kini tidak boleh bertutur dengan baik, menulis dan membaca.

Sepanjang tiga tahun mendedikasikan hidup untuk memastikan Cico sembuh, banyak perkara memilukan terjadi. Cico tidak lagi mampu bekerja dan Uji sendiri terpaksa menolak tawaran menyanyi kerana terpaksa menjaga Cico.

“Hidup kami memang susah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Saya, Cico dan cucu, pernah di halau dari rumah sewa dalam keadaan sehelai sepinggang. Kami terpaksa menginap di hotel bajet selama berbulan-bulan.

“Namun ada seorang peminat yang baik hati memberi kami tempat berteduh. Bagaimanapun tahun lalu, atas bantuan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kami ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” ujarnya.

Prof Muhaya sebak

Sementara itu, Datuk Dr Prof Muhaya yang juga kelihatan sebak mendengar cerita Uji, merungkai topik ‘jawapan atau ujian’ agar orang ramai sentiasa positif dalam mengharungi dugaan hidup.

“Perkongsian dari seorang ahli sufi, pesanan daripada sorang wali Allah SWT, meminta kita melakukan dua perkara di mana setiap hari kita perlu membaca dan berkaca. Membaca maksudnya di sini melihat keluar kehidupan orang lain. Satu lagi berkaca, di mana ahli sufi mengatakan seorang mukmin itu cerminan kepada mukmin yang lain.

Iklan

“Kita membaca melihat kehidupan orang lain dan berkaca melihat diri sendiri yang kita panggil  introspeksi diri. Apabila kita ada masalah banyak orang akan membaca. Saya jadi macam begini sebab orang ini atau kita panggil mangsa kehidupan.

“Dari segi saintifiknya siapa berada dalam keadaan ini, mereka berada zon sengsara. Cara untuk kita naik ke zon yang atas, kita haruslah berkaca diri di mana kita menerima  ujian ini kerana takdir Allah SWT yang sudah tertulis di dalam Luh Mahfuz.

“Kita diberi dua kelebihan boleh melihat dengan mata nafsu dan mata hati. Jika dengan mata nafsu, kita akan merungut dan menyalahkan keadaan. Mata hati pula MasyaAllah, kita berdoa bagaimana ujian ini membuatkan kita lebih dekat pada Allah SWT dan berakhlak baik kepadaNya,” katanya.

Prof Muhaya bersama Uji Rashid.

Prof Muhaya menambah, apabila seseorang melangkah momen taubat, bersyukur, sabar, redha, mereka telah mencapai tahap lebih tinggi. Maka masa itu kita dapat mempertingkatkan garis sengsara kepada biasa, seterusnya produktif kepada luar biasa.

Iklan

“Justeru itu bagi sesiapa yang menghadapi apa sahaja masalah anda perlu mengatasinya dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Sedikit latar belakang mengenai program Telekung Talk kendalian pengacara Abu Talib Husin, ia diperkenalkan semenjak tiga tahun lalu dan pernah menampilkan selebriti popular antaranya Neelofa, Lisa Suruhani, Fazura.

Bagaimanapun edisi Telekung Talk kali ini cukup istimewa kerana ia diadakan bersempena pembukaan butik serta koleksi baharu Muhayya Magical yang bakal dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari 2021.

Antara produk yang akan dilancarkan adalah telekung dan khimar, yang di reka menggunakan fabrik berkualiti, dijahit kemas dan cantik, bagi  mempersiapkan wanita dalam keadaan sempurna saat menunaikan ibadah solat. Kesemua produk ini boleh didapatkan menerusi www.muhayyamagical.com

Pada majlis sama, satu kejutan majlis ulang tahun ke-12 puteri tunggal Cico, Nur Fitrah turut diadakan.