Cocaine Bear, amukan sang beruang hitam

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini naskhah-naskhah yang mengambil inspirasi daripada kisah benar kembali mendapat perhatian para peminat filem di pawagam.

Tidak hanya tampil dengan cerita lebih menarik, filem adaptasi juga selalunya mampu memberi impak yang lebih besar kepada tontonan.

Terbaru, Elizabeth Banks menggunakan formula sama menerusi karya arahannya, Cocaine Bear yang diinspirasikan daripada kisah benar berlaku di hutan Georgia, Amerika Syarikat pada tahun 1985.

Ketika itu seorang pengedar dadah melarikan diri dengan menaiki kapal terbang sebelum jatuh terhempas. Dadah jenis kokain yang dibawanya hilang dan didapati telah dimakan oleh seekor beruang hitam yang kemudiannya mati akibat pengambilan berlebihan.

Filem edaran United International Pictures itu mengekalkan jalan cerita sama bagaimana seekor beruang hitam yang menjadi agresif secara tiba-tiba selepas menelan kokain yang ditemui dalam hutan didiami.

Dadah tersebut memberi kesan luar biasa kepada beruang terbabit sehingga mendorongnya menyerang dan membunuh ramai mangsa termasuk polis, pelancong serta remaja.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila beruang tersebut terus menelan saki baki dadah tersebut yang pada masa sama turut dicari oleh sekumpulan pengedar dadah yang kembali menuntut hak mereka.

Antara babak menarik dalam Cocaine Bear.

Filem aksi komedi itu tampil dengan jalan cerita mudah difahami dengan babak-babak menarik yang mampu memberi tarikan tarikan tersendiri kepada penonton.

Aksi ngeri

Namun sesuai dengan klasifikasi tontonan 18 tahun, Cocaine Bear banyak menampilkan aksi pembunuhan ngeri yang mampu membuatkan penonton tidak senang duduk dan dibelenggu debaran berpanjangan ketika menonton.

Malah ada sebahagian babak memaparkan aksi ganas yang mungkin bakal mencetuskan igauan ngeri bagi sesetengah penonton.

Mujurlah filem lakonan Keri Russell, O'Shea Jackson, Jr., Ray Liotta, Alden Ehrenreich itu diimbangi dengan elemen komedi yang berjaya mengendurkan ketegangan berlaku sepanjang tontonan.

Dalam masa sama, komedi gelap yang ditampilkan Elizabeth Banks dalam filem ini turut menyelitkan banyak mesej penting untuk dihadam bersama termasuk kesan yang berlaku kepada haiwan terbabit akibat kecuaian dan sikap mementingkan diri manusia.

Selain itu, imej janaan computer atau computer generated imagery (CGI) yang digunakan untuk karakter beruang terbabit ditampilkan dengan cukup baik, sekali gus meyakinkan penonton untuk melihat visual tersebut seperti benar-benar wujud.

Secara keseluruhannya, Cocaine Bear adalah sebuah filem menarik dan memberikan pengalaman tontonan yang berbeza.

Jangan ketinggalan menyaksikan filem ini yang mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 22 Februari lalu.

Cocaine Bear

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: 18

Genre: Thriller

Durasi: 1 jam 35 minit

Pengarah: Elizabeth Banks

Pelakon: Keri Russell, O'Shea Jackson, Jr., Ray Liotta, Alden Ehrenreich

Edaran: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 23 Februari 2023

(FOTO: UNITED INTERNATIONAL PICTURES)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca