SELEPAS dua hari dituntut untuk memohon maaf kepada Siti Nordiana, penyanyi, Lan Solo, Syura bersama tiga yang lain iaitu isteri Lan, Nur Sheila Hassim; jurusolek, Aida G; dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin, menyerahkan kepada peguam mereka untuk tindakan selanjutnya.

Lima individu terbabit juga mengakui sudah menerima notis yang dikemukakan Siti Nordiana menerusi peguam Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates.

“Kami ambil maklum tentang tindakan notis tuntutan yang telah di ambil oleh pihak Siti Nordiana terhadap kami berlima.

“Kami juga telah menyerahkan perkara ini kepada peguam kami untuk tindakan selanjutnya.

“Apa-apa tindakan atau respons yang bakal menyusul, akan kami maklumkan berdasarkan nasihat daripada peguam kami,” ujar mereka.

Sesi Instagram Live yang dibuat pada 20 Julai lalu menarik perhatian ramai.

Terdahulu Siti Nordiana, 36, menerusi peguamnya Abang Azlan Abang Ariffin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pada 23 Julai lalu berhubung isu namanya dibabitkan dalam Instagram Live lima individu berkenaan, baru-baru ini.

Iklan

Justeru dalam satu sidang media yang diadakan secara virtual pada Jumaat lalu, penyanyi Angkara itu menuntut lima sahabat berkenaan memohon maaf tempoh masa 24 hingga 48 jam. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka bakal disaman.

BACA JUGA Siti Nordiana Buat Laporan Polis, Tuntut Permohonan Maaf Daripada Lan Solo Dan Syura

Iklan

Isu tercetus apabila nama Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana disebut dalam sesi siaran langsung di Instagram penyanyi Lan Solo, Syura, isteri Lan iaitu Sheila, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin pada 20 Julai lalu.

Pada sesi itu Shiela meluahkan rasa terkilan apabila suaminya, Lan dikatakan menumpang populariti Siti Nordiana.