MENAFIKAN segala tuduhan dan kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan kepadanya baru-baru ini, penyanyi Siti Nordiana tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pada pagi Jumaat.

Siti Nordiana, 37, yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin menerusi Abang Azlan Associates menjelaskan, laporan tersebut sebagai penafian berhubung kenyataan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Laporan tersebut merupakan satu penafian yang juga pelindung untuk Siti Nordiana terhadap segala tuduhan dan fitnah yang dilakukan ketika sesi siaran langsung yang dibuat oleh lima individu terbabit.

“Kami juga berbincang untuk mengemukakan satu notis tuntutan maaf kepada mereka pada Isnin ini. Menerusi notis tersebut, pihak terbabit diberikan masa selama 48 jam untuk berbuat demikian dan sekiranya gagal, tindakan selanjutnya akan diambil.

“Sesi siaran langsung tersebut dengan jelas menyebut nama Siti Nordiana dan ia sekali gus melibatkan imej dan reputasinya dalam kerjaya.

“Biarpun sesi siaran langsung tersebut telah dipadam daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia sempat dimuat naik di saluran YouTube di mana jumlah tontonannya semakin meningkat dari masa ke semasa,” ujar Azlan.

Terdahulu Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana dikejutkan dengan sesi luahan yang dilakukan oleh penyanyi Lan Solo bersama isterinya, Nur Sheila Hassim, Syura Badron, jurusolek, Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin yang bercakap mengenai dirinya menerusi sesi siaran langsung di Instagram (IG) beberapa hari lalu.

Nana yang ditemui dalam sidang media secara maya hari ini mengakui kesal dengan tindakan rakan-rakannya itu yang secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada reputasi dan kerjaya seninya.

“Saya tidak tahu tentang perkara ini sehinggalah dimaklumkan peminat tentang sesi siaran langsung yang dilakukan pada malam raya (Aidiladha lalu). Saya juga menerima beberapa petikan video sesi tersebut yang secara jelasnya bercakap perkara tidak menyenangkan tentang diri saya.

“Sebelum ini saya pernah mendengar ura-ura tentang perkara tersebut, tetapi tidak mengambil kisah tentangnya kerana menganggap ia sebagai lumrah manusia.

“Bagaimanapun, apabila ia sekali lagi ditimbulkan dan diperkatakan secara siaran langsung di media sosial, saya tak boleh sabar lagi kerana ia membabitkan reputasi dan kerjaya saya.

“Jadi saya terpaksa mengambil tindakan ini (laporan polis) untuk membersihkan nama saya selepas mendapat nasihat daripada peguam,” jelas Nana yang turut menafikan segala tuduhan tersebut.

Nana kesal dengan tindakan Lan Solo dan Syura yang mengadakan perbincangan secara terbuka tentang dirinya dalam sesi siaran langsung di Intagram baru-baru ini.

Bagaimanapun, sekiranya pihak terbabit mahu menyelesaikan isu tersebut secara baik, Nana terbuka untuk berbuat demikian.

“Insya-ALLAH. Saya pun faham kita hanya manusia biasa dan tak sempurna. Jika mereka mahukan pendekatan sebegitu, apa salahnya kerana saya sentiasa terbuka.

Iklan

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan peguam lebih lanjut mengenai perkara ini dan berharap agar ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Nana mengakui tidak mempunyai masalah dengan mereka yang terbabit, malah tidak tahu punca sebenar menyebabkan kejadian tersebut berlaku.

“Hubungan kami macam biasa sahaja, masing-masing sibuk dengan hal sendiri apatah lagi ketika pandemik ini.

“Saya perasan mereka tidak lagi mengikuti saya di Instagram, namun ketika itu saya fikir ia mungkin berlaku secara tidak sengaja.

“Apapun, bagi saya jika ada apa-apa yang tidak puas hati dengan saya, adalah lebih sekiranya terus menghubungi saya dan berterus-terang kerana kami pun dah kenal lama serta pernah susah senang bersama. Saya hargai mereka.

Iklan

“Cuma saya agak terkilan apabila mereka berkongsi perkara sebegini menerusi media sosial dan saya perlu berdepan dengan situasi sekarang ini,” luah Nana kesal.

Pada Selasa lalu, Lan Solo dan Syura tampil melakukan perbincangan secara terbuka pada sesi siaran langsung di Instagram mengenai konflik yang melanda mereka dan Siti Nordiana.

Menerusi sesi itu, isteri Lan mengakui terkilan dengan sikap penyanyi Angkara itu yang mendakwa Lan menumpang popularitinnya sehingga menjejaskan tawaran kerja mereka.

Manakala Syura pula mendedahkan dia sukar mendapat tawaran kerja disebabkan sikap Siti Nordiana yang berkata perkara tidak baik mengenainya.