SELEPAS pelbagai kejayaan dirangkul dalam bidang perniagaan, pelakon dan penyanyi kelahiran Indonesia, Tya Arifin berkongsi rasa teruja selepas berpeluang bertemu ahli perniagaan yang disegani ramai, Tan Sri Vincent Tan tempoh hari.

Ujar pemilik syarikat Mutyara Beauty itu, dia berkesempatan bertemu jutawan tersebut ketika majlis makan malam bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran ibu mentua tirinya yang juga penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Selain merayakan ulang tahun Mak Iti, Tya berkesempatan untuk makan malam dan bersembang dengan Tan Sri Vincent Tan. Seorang yang amat berjaya di Malaysia. Beliau adalah salah satu idola usahawan yang Tya kagumi.

“Momen yang berharga ketika duduk bersebelahan dan beliau kongsi apa sebenarnya kunci kejayaan beliau hingga hari ini,” katanya.

Selain berkongsi ilmu, Vincent Tan dan keluarga meluangkan masa meraikan hari jadi Siti Nurhaliza.

Mempunyai matlamat yang tinggi dan berkeinginan menggapai kecemerlangan yang sama dengan Vincent, Tya yang telah melahirkan lebih 30,000 usahawan Mutyara dan menyasarkan bilangan 100,000 pada tahun 2022.

Bahkan, Tya juga tidak terlepas meluahkan perasaan syukur atas nasihat dan kata-kata semangat yang diberikan oleh pengasas Berjaya Corporation Berhad itu.

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Tya Arifin (@tyaarifinnw)

Meninjau ke ruangan komen posting berkenaan, rata-rata pengikutnya meninggalkan komen positif dan rasa teruja dengan semangat gigih Tya dalam membantu masyarakat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan berjaya dalam kehidupan.

Iklan

Terdahulu, pelantun lagu Bagaikan Mutiara ini dilihat aktif bertemu para usahawannya menerusi program Road Tour Mutyara di seluruh pelusuk negara.

Untuk rekod, selepas 4 tahun bertapak dalam dunia bisnes, ibu kepada dua cahaya mata ini disahkan telah berjaya melahirkan jutawan sulung Mutyara sekitar November tahun lalu.