SETELAH berjaya menarik perhatian 94.74 juta tontonan melalui video-video pendek di YouTube, Syahmi Sazli mengambil langkah berani untuk mengarahkan filem pertamanya, Mael Totey The Movie (MTTM).

Turut mengekalkan dua bintang yang sering menghiasi video pendek komedinya sebelum ini iaitu Yoe Parey dan Asif Suhaimi, MTTM yang mengangkat genre drama komedi, akan menemui penonton di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai hari ini (22 Oktober).

Gelaran ‘totey’ sememangnya tidak asing dalam kalangan masyarakat Kelantan. Watak utama yang dibawa oleh Syahmi Sazli di dalam filem, bakal menterjemahkan gelaran tersebut menerusi karakternya.

Syahmi yang turut bertindak selaku penerbit dan penulis skrip untuk MTTM memberitahu, idea untuk menghasilkan filem tersebut tercetus hasil permintaan pengikut setia mereka.

Katanya, keinginan untuk menghasilkan filem sendiri lebih kuat selepas membintangi filem Syif Malam Raya baru-baru ini.

“Selepas kami membintangi Syif Malam Raya, ramai yang memberi galakan dan bertanya bila saya nak hasilkan filem sendiri pula.

“Kebetulan, saya sudah siapkan sebuah cerita untuk drama bersiri di Astro Warna. Jadi saya ambil keputusan untuk ubah jalan cerita itu kepada semua filem, maka terhasillah MTTM.

“MTTM adalah remake dan kesinambungan daripada siri YouTube saya iaitu Mael Totey: Speaking English,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Turut membintangi filem adalah Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.

BINTANG MTTM
Syahmi (tengah) masih mengekalkan Asif (kiri) dan Yoe sebagai teraju utama Mael Totey The Movie.

Bercerita lanjut mengenai MTTM, Syahmi berkata, penggambaran berlangsung selama 14 hari melibatkan beberapa lokasi di Kelantan seperti Kota Bharu, Tumpat dan Tok Bali, dengan kos RM400,000.

“Pertama kali mengarahkan filem sendiri memang mencabar buat saya kerana dalam masa yang sama, saya perlu berlakon dan handle empat orang pelakon istimewa iaitu Asif, Yoe, Yatin  dan Bedul.

Iklan

“Selalunya untuk video pendek di YouTube, hanya makan masa 10 hingga 15 minit, tetapi berbeza kali ini, ia memakan masa hampir dua jam.

“Antara lain yang menarik untuk filem ini adalah 80 peratus barisan pelakon adalah bakat baharu yang saya perkenalkan,” jelasnya yang turut bertindak selaku penyunting filem.

Berbeza dengan pembikin filem lain, Syahmi berkata, dia tidak meletak harapan untuk melihat filem ini mendapat kutipan tinggi.

Namun apa yang diharapkan, MTTM tidak akan menjadi mangsa cetak rompak.

Iklan

“Saya tahu agak mustahil untuk melihat sebuah filem tidak menjadi mangsa cetak rompak, disiarkan di media sosial tanpa kebenaran. Tetapi besar harapan saya agar MTTM tidak menerima nasib sama,” ujarnya yang turut terbuka menerima apa juga kritikan terhadap filem baharunya nanti.

MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

MTTM
Antara babak dalam Mael Totey The Movie.

Ingin mengetahui apa akan terjadi seterusnya, saksikan filem Mael Totey The Movie yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober.