LEBIH sebulan bergelar ibu, pelakon Dayana Roza akhirnya berkongsi tentang kelahiran cahaya mata sulungnya yang dilahirkan pramatang di sebuah hospital swasta di ibu kota pada 20 Julai lalu.

Menurut Dayana atau nama penuhnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 30, dia sepatutnya bersalin pada bulan depan namun, bayi perempuan yang diberi nama Astrid Raheeya itu selamat lahir secara normal lebih awal biarpun tidak cukup bulan.

Bagaimanapun, jelas pelakon Rempt-It 2 itu lagi, semuanya dalam keadaan yang baik dan kelahiran bayi pramatang bukanlah asing dalam keluarganya sebelum ini.

“Alhamdulillah keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya okey. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram, sekitar jam 11 malam.

“Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Cuma ikutkan perihal lahir tak cukup bulan ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup keluarga saya.

“Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Malah adik saya pun mengalami situasi sama seperti saya dan anak. Jadi saya rasa tak pelik. Cuma syukur tak ada komplikasi apa apa dekat anak saya,” katanya.

Berkongsi detik tersebut kata Dayana, dia sendiri tidak menyangka akan bersalin pada tarikh tersebut dan sibuk menjamu selera sempena sambutan hari raya Aidiladha.

“Sebelah siang sebelum melahirkan anaknya, saya mengakui sibuk menikmati hidangan makanan raya.

“Sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya sebenarnya mengalami pendarahan. Tapi tidaklah teruk sangat hinggalah membawa ke malam saya selamat melahirkan anak.

Iklan

“Takut juga sebab saya lahir tak cukup bulan bimbang apa apa terjadi. Tapi semua baik baik saja,” katanya yang seminggu berada di hospital.

Mengimbau kembali ketika tempoh kehamilannya, Dayana mengakui mengalami emosinya tidak stabil ketika hamil.

Iklan

“Mujur juga emosi itu tak terbawa bawa lepas saya melahirkan anak. Masa berbadan dua, saya akui agak stres. Tak pasti apakah ia ada kaitan dengan situasi semasa Covid-19 atau perkara lain.

“Saya mula fikir bukan bukan ketika itu. Sekarang saya nak berehat betul betul dan beri tumpuan penuh dekat anak. Harap suami tak cemburu,” ujarnya.

Dayana dan suami, A’dale Adham Ayahudin mendirikan rumah tangga pada 25 Disember tahun lalu.