FILEM blockbuster terbitan produksi Korea Selatan yang ditunggu ramai, Decibel menemui penonton di pawagam bermula 1 Disember lalu.

Lebih menambah teruja, naskhah arahan Hwang In-Ho itu menampilkan barisan pelakon popular negara berkenaan yang turut mempunyai reputasi lakonan hebat.

Decibel mengisahkan seorang lelaki misteri yang mengancam ketenteraman awam dengan pemasangan bom di beberapa lokasi tumpuan orang ramai.

Menariknya, bom tersebut memberi respons yang lebih berkesan kepada frekuensi bunyi dihasilkan oleh suasana di lokasi-lokasi terlibat seperti stadium bola sepak.

Kang Do Young, seorang komandan kapal selam menjadi sasaran lelaki tersebut apabila dijadikan pengantara dan saksi kejadian. Do Young berusaha keras untuk menghentikan siri serangan itu, sekali gus menyelamatkan mangsa termasuk isteri dan anak perempuannya yang turut menjadi sasaran.

Apa yang mengejutkan Do Young, serangan tersebut mempunyai kaitan dengan kejadian kapal selam karam yang dikendalikannya setahun lalu dan mula mengesyaki dalang di sebalik apa yang berlaku itu melibatkan orang yang dikenalinya.

Antara babak menarik dalam Decibel.

Filem bergenre drama aksi ini dipersembahkan dengan cukup menarik menerusi beberapa babak tegang melibatkan watak-watak utamanya. Serangan bom yang berlaku di tengah bandar melibatkan orang ramai mengundang aksi yang cukup mendebarkan.

Apatah lagi banyak syot menarik termasuk pemilihan close up yang berjaya dihasilkan dengan baik untuk memberi rasa cemas kepada penonton, sekali gus turut menyertai perjalanan cerita tersebut sehingga ke penghujungnya.

Tidak hanya itu, elemen komedi yang diselitkan juga menjadi nilai tambah kepada filem ini apabila berjaya mengendurkan ketegangan emosi penonton setelah disajikan dengan dengan aksi-kasi mencemaskan.

Dari segi lakonan, teraju utamanya Kim Rae-Won dan Lee Jong-Suk memberikan lakonan hebat mereka. Masing-masing berjaya menghidupkan watak yang dibawa dengan baik dan memberi impak pada tontonan.

Iklan

Namun di sebalik itu, Decibel dilihat mempunyai beberapa kelemahan yang sedikit mengganggu tontonan. Terdapat adegan-adegan yang dilihat tidak masuk akal terutamanya melibatkan mangsa serangan bom.

Selalunya apabila melibatkan letupan bom dalam jarak dekat, mangsa terlibat akan mengalami kecederaan teruk, tetapi sebaliknya berlaku pada watak Do Young, isteri dan wartawan yang membantunya apabila hanya mengalami luka kecil.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya filem ini masih menarik untuk ditonton dan menyajikan keterujaan tersendiri buat peminat filem aksi dari Korea Selatan.

Iklan

Decibel
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P13
Genre: Drama/aksi
Durasi: 1 jam 50 minit
Pengarah: Hwang In-Ho
Pelakon: Kim Rae-Won,
Lee Jong-Suk, Cha Eun-Woo,
Jung Sang-hoon, Park Byung-eun
Tarikh Tayangan: 1 Disember 2022
Edaran: ARtriNaga Sdn Bhd