VOKALIS kumpulan OAG, Radhi mendedahkan terpaksa membuat pinjaman RM50,000 daripada ‘Ah Long’ untuk meneruskan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Disember tahun lalu.

Radhi sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita berkata, tindakan itu dilakukan selepas berdepan situasi terdesak pada hari kejadian di mana pentas untuk melakukan persembahan tersebut masih belum disiapkan berikutan masalah bajet.

Biarpun sedar tindakan itu bukanlah satu keputusan yang baik, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Pada jam 3 petang hari konsert itu berlangsung, pentas belum siap kerana kami tiada duit. Jadi, kami ambil keputusan pinjam daripada ‘ah long’ walaupun tahu ia bukanlah idea baik.

“Kami terpaksa pinjam ‘ah long’ kerana mahu teruskan konsert. Pada hari itu juga, ‘ah long’ datang dari Pulau Pinang dan bawa wang sebanyak RM50,000.

“Wang itulah digunakan untuk membina set di pentas dan persiapan lain konsert. Kalau tidak, memang tidak akan berlaku apa-apa pada malam itu,” ujarnya.

Dalam pendedahan sama, penyanyi lagu Generasiku itu berkata, mereka pada mulanya enggan meneruskan konsert tersebut disebabkan kesuntukan masa, selain beberapa masalah lain yang timbul.

Bagaimanapun, demi peminat mereka sanggup mengambil risiko tersebut dan meneruskan konsert biarpun ada tiket yang diberikan secara percuma kepada penonton.

Iklan

“Disebabkan peminat, kami teruskannya. Ramai ingat tiket itu habis terjual, sebaliknya banyak yang diberi percuma.

“Kalau diikutkan boleh sahaja untuk jual semuanya, tetapi masa sangat terhad,” katanya.

Jelas Radhi, promosi untuk konsert tersebut hanya dibuat dua bulan sahaja, selain kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang berlangusng pada ketika itu mempengaruhi jualan tiket yang tidak terjual.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.