DERITA penyakit mental bipolar, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman disahkan tidak waras semasa kejadian kes dadahnya pada 31 Mac tahun lalu.

Yasin yang berhadapan pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret.

Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskannya.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu telah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk diperiksa tahap kesihatan mentalnya.

Selain bipolar, Yasin juga mengalami hyperthyroidism yang menyebabkan berat badannya semakin menyusut.

YASIN SULAIMAN
Gambar fail.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, berkata keadaan mental penyanyi itu bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes dadah.

Pun begitu, Ahmad Zuhaini berkata keadaan mental penyanyi itu bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes dadah.

Susulan perkembangan baharu bagi pihak pendakwaan, beliau diarahkan untuk memohon satu lagi tarikh sebutan dan arahan baru daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan perkembangan itu.

Peguam mewakili Yasin, Ariff Azami, berkata laporan perubatan itu mengesahkan dua perkara mustahak iaitu anak guam tidak waras ketika kejadian dan layak dibicarakan.

Hakim menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes, manakala 28 serta 29 Ogos untuk bicara.

Baca juga: Projek istimewa Yasin Sulaiman, Vaksin Rindu tiup semangat kala pandemik

KRONOLOGI KES

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi ini dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Baca juga: Tampil berambut pendek, Yasin Sulaiman terima rawatan bipolar

TAHAP KESIHATAN BERTAMBAH BAIK

Abang Yasin, Zain Sulaiman, 51, berkata, tahap kesihatan adiknya bertambah baik berbanding dua bulan lalu.

“Dulu, berat badan dia hanya 48 kilogram, sampai nampak tulang tapi sekarang dia semakin baik, bertambah berat malah kami sekeluarga tengok kesihatannya semakin pulih.

“Alhamdulillah, setelah dirujuk ke hospital itu dan dibekalkan beberapa jenis ubat, dia kelihatan memberangsangkan, itu yang penting untuk keluarga,” katanya selepas prosiding kes dadah yang dihadapi Yasin.

Baca juga: 4.5 juta penduduk dunia alami gangguan bipolar. Selain boleh cetus halusinasi, impaknya lebih daripada itu

8 FAKTA BIPOLAR

1-Bipolar merujuk kepada keadaan individu yang mengalami kecelaruan emosi seperti episod kemurungan dan episod terlampau gembira atau dalam istilah lain, mania.

Iklan

2-Terdapat beberapa jenis kecelaruan bipolar iaitu:

Bipolar I: Seseorang pernah mengalami sekurang-kurangnya satu episod mania.

Bipolar II: Individu tersebut pernah mengalami sekurang-kurangnya satu episod kemurungan dan hypomania.

Cyclothymia: Situasi ini menyaksikan seseorang mengalami simptom kemurungan dan hypomania yang ringan, tetapi berpanjangan. Ia berlanjutan sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Jenis lain: Jika pesakit tidak memenuhi kriteria tiga jenis kecelaruan bipolar di atas, tetapi masih mempunyai simptom gangguan ini, mereka mungkin mempunyai jenis lain yang berkaitan dengan kecelaruan ini.

3-Mereka yang mengalami gangguan bipolar akan mengalami perubahan mood melampau.

4-Apabila pesakit berada dalam episod manik, mereka berasa sangat gembira, tidak senang duduk, sangat gemar berceloteh dan penuh dengan tenaga.

5-Selain itu, pesakit bipolar juga mungkin mengalami beberapa gejala lain seperti berikut:

Iklan

-Kurang keperluan untuk tidur (contohnya, tidur selama tiga jam sahaja, tetapi masih bertenaga pada hari esok).
-Harga diri atau keyakinan bertambah sehingga mereka memikirkan diri lebih hebat dan memiliki kelebihan luar biasa.
-Bercakap lebih banyak daripada biasa sehingga sukar untuk memotong percakapan mereka.
-Banyak idea dan berasakan fikiran menjadi ‘laju‘.
-Sukar menumpukan perhatian atau mudah terganggu.
-Peningkatan aktiviti atau keresahan psikomotor.
-Terlibat dalam perkara yang berisiko seperti membeli-belah tanpa kawalan, hubungan seksual secara rambang dan membuat pelaburan tanpa berfikir panjang.

6-Pesakit bipolar juga boleh mempunyai idea untuk bunuh diri atau cuba untuk membunuh diri sendiri.

7-Simptom-simptom boleh berlangsung selama beberapa minggu, bulan bahkan tahun. Pesakit boleh mengalaminya beberapa kali seminggu.

8-Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengganggarkan gangguan bipolar telah menjejaskan kira-kira 45 juta orang di seluruh dunia.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!