APABILA selebriti popular negara, Janna Nick mendedahkan beliau pernah mengalami gangguan bipolar sehingga pernah mencuba untuk membunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun, ia mengejutkan ramai pihak.

Dalam entrinya di laman Instagram baru-baru ini, Janna mengakui memerlukan ubat antikemurungan untuk memulihkan dirinya. Beliau juga tidak pasti jika penyakit itu mempunyai kaitan dengan genetik keluarga atau ada hubung kait tentang kisah lampaunya.

Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, gangguan bipolar telah menjejaskan kira-kira 45 juta orang di seluruh dunia.

National Institute of Mental Health, Amerika Syarikat (AS) dalam statistiknya pula memberitahu, kira-kira 5.7 juta orang dewasa atau kira-kira 2.8 peratus daripada populasi AS yang berumur 18 tahun ke atas menghidap bipolar pada setiap tahun.

Selain Janna, sebenarnya dalam masyarakat kita sendiri ramai yang dihambat dengan masalah sebegitu. Justeru, bagi membantu menghuraikan lebih lanjut tentang penyakit gangguan bipolar, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri, Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khadijah Hasanah Abang Abdullah.

Jelas Dr Khadijah Hasanah, secara literal, bipolar merujuk kepada keadaan individu yang mengalami kecelaruan emosi seperti episod kemurungan dan episod terlampau gembira atau dalam istilah lain, mania. Hypomania pula adalah gejala mania yang tidak begitu ketara.
Terdapat beberapa jenis kecelaruan bipolar iaitu:

Bipolar 1: Seseorang pernah mengalami sekurang-kurangnya satu episod mania.
Bipolar II: Individu tersebut pernah mengalami sekurang-kurangnya satu episod kemurungan dan hypomania.
Cyclothymia: Situasi ini menyaksikan seseorang mengalami simptom kemurungan dan hypomania yang ringan, tetapi berpanjangan. Ia berlanjutan sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Halusinasi

Menjelaskan secara terperinci tentang episod mania, pakar tersebut berkata, lazimnya pesakit akan mengalami perasaan gembira yang terlampau atau menjadi cepat marah. Mereka juga memiliki tenaga yang berlebihan dan akan diterjemahkan dengan peningkatan aktiviti yang akan dilakukan.

“Pada episod atau fasa ini, situasi seperti ini berterusan sekurang-kurangnya selama seminggu,“ kata beliau.

Selain itu, kelompok tersebut juga mungkin mengalami beberapa gejala lain seperti:

-Kurang keperluan untuk tidur (contohnya, tidur selama tiga jam sahaja, tetapi masih bertenaga pada hari esok).
-Harga diri atau keyakinan bertambah sehingga mereka memikirkan diri lebih hebat dan memiliki kelebihan luar biasa.
-Bercakap lebih banyak daripada biasa sehingga sukar untuk memotong percakapan mereka.
-Banyak idea dan berasakan fikiran menjadi ‘laju‘.
-Sukar menumpukan perhatian atau mudah terganggu.
-Peningkatan aktiviti atau keresahan psikomotor.
-Terlibat dalam perkara yang berisiko seperti membeli-belah tanpa kawalan, hubungan seksual secara rambang dan membuat pelaburan tanpa berfikir panjang.

“Dalam fasa ini juga, ada yang mengalami petanda yang lebih serius seperti kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Gejala psikosis seperti halusinasi atau delusi seperti mempercayai dirinya hebat (grandiose delusion) atau dalam keadaan bahaya (persecutory delusion), walaupun tidak benar, boleh dialami. Seseorang yang dalam keadaan mania biasanya perlu dimasukkan ke dalam wad untuk mendapatkan rawatan,“ ujarnya.

Mengenai episod kemurungan pula, seseorang akan bergelut dengan perasaan sedih, tertekan atau hilang minat terhadap hal yang diminati selama ini sekurang-kurangnya dua minggu.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

“Golongan yang murung juga sukar untuk tidur atau tidur berlebihan, kurang selera makan, kurang fokus, kurang bertenaga, rasa bersalah keterlaluan, putus asa dan berfikir lebih baik mati atau ingin bunuh diri,“ katanya,

Kepada satu soalan, Dr Khadijah Hasanah menjelaskan, faktor genetik boleh mempengaruhi individu mengalami krisis kesihatan berkenaan.

Contohnya, seseorang mempunyai risiko sebanyak 10 peratus sekiranya ibu atau ayah mempunyai penyakit ini. Ia akan bertambah menjadi 50 hingga 70 peratus jika individu itu mempunyai kembar seiras yang mengalami bipolar,“ jelasnya.

Selain itu, stres, trauma, amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan dadah juga boleh menyumbang.

Pun demikian, Dr Khadijah Hasanah yang juga pensyarah di USIM berkata, punca kepada penyakit tersebut adalah disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak yang dinamakan neurotransmitter, khususnya neurotransmitter serotonin dan dopamine.

“Serotonin membantu dalam kawalan emosi dan dopamine penting untuk fokus, motivasi dan kawalan pergerakan. Apabila kadar neurotransmitter berlebihan, ia menyebabkan gejala mania. Jika kadarnya rendah pula, ia mendorong kepada masalah kemurungan,“ terang beliau satu persatu.

Kanak-kanak & rawatan ECT
Menyambung hujah, Dr Khadijah Hasanah berkata, lelaki dan wanita didiagnosis dengan bipolar yang hampir sama. Kenyataan beliau seiring dengan fakta yang dikongsi oleh Healthline.

Bagaimanapun, laman web perubatan di AS untuk berkata, simptom utama gangguan mungkin berbeza-beza.

Bagi kaum Hawa, biasanya golongan itu didiagnosis dengan penyakit itu lebih lewat iaitu pada usia 20-an atau 30-an.

Dalam sesetengah kes, mereka barangkali dikesan dengan gejala bipolar ketika hamil atau selepas bersalin. Mereka juga lebih cenderung untuk didiagnosis dengan Bipolar II,“ kata penulisan tersebut.

Berbeza dengan lelaki, penyakit mental berkenaan boleh diketahui lebih awal dan lazimnya perilaku kelompok itu akan lebih agresif ketika episod mania melanda.

Adakah kanak-kanak boleh menghidap gangguan bipolar? Menjawab pertanyaan itu, Healthline berkata, seperti orang dewasa, kanak-kanak yang berdepan krisis kesihatan itu akan mengalami perubahan mood yang melampau.

Antara simptom yang jelas kelihatan dalam kalangan si cilik adalah seperti tidak berasa letih walaupun tidak cukup tidur, ledakan kemarahan yang cepat, tidak fokus, bercakap dengan pantas, cepat menukar subjek dengan perlahan atau berasa terlalu gembira.

Beberapa isu tingkah laku kanak-kanak kadangkala boleh menjurus kepada keadaan kesihatan mental lain seperti Sindrom Kurang Daya Tumpuan. Justeru, dapatkan nasihat doktor untuk lebih banyak bimbingan,“ kata Healthline.

Menyentuh soal rawatan, SinarPlus kembali merujuk Dr Khadijah Hasanah.

Kongsi beliau, pesakit sememangnya memerlukan ubat yang dinamakan mood stabilizers seperti lithium, sodium valproate (epilim), lamotrigine atau daripada kumpulan ubatan antipsikotik. Ia bertujuan untuk menstabilkan emosi dan bertindak memberi keseimbangan pada bahan kimia atau neurotransmitter di dalam otak.

Selain itu, pada waktu krisis atau akut, pesakit juga boleh diberi ubat penenang seperti benzodiazepines dalam jangka masa pendek untuk membantu menenangkan pesakit dengan segera. Apabila mereka sudah semakin reda, isu psikososial pula perlu diteliti.

Apa akan jadi seandainya pesakit tidak makan ubat mengikut preskripsi atau terlupa? Jawab beliau: “Ia boleh menyebabkan ketidakstabilan emosi dan pesakit mungkin mengalami relapse iaitu keadaan yang mana gejala penyakit tersebut akan muncul kembali.“

Mengulas lanjut, pakar tersebut memberitahu, terapi electroconvulsive atau ECT masih digunakan dan diperlukan dalam kes-kes tertentu. ECT lazimnya digunakan untuk kes pesakit dalam keadaan kemurungan atau mania yang teruk (pada tahap boleh membahayakan diri atau orang lain) dan pesakit yang hamil (memerlukan rawatan segera).

Iklan

Selain itu, ECT turut dimplemenkan ke atas individu yang tidak respons pada ubat-ubatan dan pesakit catatonia (berada dalam keadaan tidak responsif atau terlalu aktif tanpa sebab).

ECT melibatkan pemberian ubat bius untuk menidurkan pesakit sebelum diberi gencatan elektrik pada kadar yang sangat sedikit. Ia adalah satu rawatan yang telah terbukti berkesan sejak 1930-an,“ jelasnya.

Pun demikian, saran Dr Khadijah Hasanah, kombinasi ubat dan pendekatan alternatif seperti meditasi, senaman dan penjagaan tidur juga amat digalakkan.

Aktiviti-aktiviti itu merupakan salah satu cara yang baik untuk mengawal tekanan dan mampu memberi kesembuhan yang lebih cepat kepada pesakit,“ katanya sambil menegaskan, tiada suplemen atau herba yang terbukti berkesan untuk membantu pesakit bipolar.

 

Deretan selebriti tersohor, pemimpin dunia menghidap gangguan bipolar

GANGGUAN bipolar nampaknya banyak menghantui individu terkenal dunia seperti selebriti dan pemimpin negara.

Krisis kesihatan itu nampaknya sukar dibendung walaupun rata-ratanya bergelar hartawan.

Antara kisah yang pernah mencuri tumpuan global adalah pengakuan penyanyi My All, Mariah Carey kepada majalah People pada April 2018.
Mariah mendedahkan bahawa beliau hidup dalam penafian dan pengasingan selama bertahun-tahun sejak tahun 2001.

“Saya tidak mahu percaya semua itu, tetapi saya berjaya keluar daripada kepompong itu dengan dikelilingi mereka yang positif sahaja. Saya juga melakukan perkara yang saya suka seperti menulis lagu dan muzik,“ katanya.

Penyanyi dan pelakon, Demi Lovato turut berdepan masalah sama. Selebriti itu mengakui mendapatkan rawatan di klinik selepas mendapati beliau mahu mencederakan dirinya sendiri pada tahun 2010.

Saluran MTV kemudian telah menyiarkan dokumentari tentang perjuangan Lovato menangani isu kesihatan itu pada tahun 2012.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Iklan

Berkahwin dengan Michael Douglas pada tahun 2000 telah memberi tekanan kepada pelakon tersohor, Catherine Zeta Jones.

Bukan kerana tidak bahagia atau tidak berwang, tetapi mengharungi detik duka bersama suaminya yang disahkan menghidap kanser lidah telah membuatkan bintang kelahiran Wales mengharungi episod kemurungan dan akhirnya didiagnos dengan bipolar.

Siapa yang tidak kenal dengan pengasas kumpulan Nirvana, Kurt Cobain? Di sebalik populariti yang diraih, Cobain rupa-rupanya kurang mendapat perhatian daripada ahli keluarganya sehingga mencetuskan penyakit bipolar.

Lebih buruk lagi, artis itu enggan meneruskan rawatan. Selepas bergelut sekali lagi dengan depresi, beliau dikatakan telah membunuh diri pada usia 27 tahun.

Selain itu, Jean-Claude Van Damme yang terkenal dengan filem aksi disahkan juga memiliki penyakit sama.

Anak kelahiran Belgium itu memberitahu media, beliau sudah mengambil ubat untuk mengawal perubahan mood sejak daripada kecil lagi.

Dalam pada itu, Vivien Leigh yang menempah kemahsyuran selepas membintangi Gone With The Wind dilaporkan mengalami depresi dan fasa mania yang teruk. Beliau menjalani terapi electroconvulsive untuk mengatasi kecelaruan emosi itu.

Cerita Perdana Menteri Britain pada Perang Dunia ke-2, Winston Churchill lebih tragis.

Dalam sibuk memimpin negara, negarawan itu sebenarnya turut berperang melawan kemurungan, sering kekurangan tidur dan mempunyai keinginan untuk mencabut nyawanya sendiri.

Meskipun menderita gangguan bipolar, beliau sempat mengarang 43 buah buku dan memperoleh Hadiah Nobel dalam kesusasteraan pada tahun 1953. -MAZLINA ABDUL MAJID

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI