PELAKON Amelia Henderson diarahkan membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida Production Sdn Bhd, selepas keputusan Mahkamah Sesyen Sivil tidak berpihak kepadanya berhubung kes saman perlanggaran kontrak perjanjian bersama syarikat produksi tersebut.

Amelia atau nama lengkapnya, Amelia Thripura Henderson, 28, bagaimanapun bakal mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

“Saya tak boleh kongsi banyak buat masa ini, tetapi saya akan buat rayuan kepada mahkamah tinggi terhadap keseluruhan keputusan mahkamah pada hari ini.

“Bagaimanapun saya menghormati keputusan mahkamah,” ujarnya kepada media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, pada Jumaat.

Biarpun keputusan mahkamah tidak berpihak kepadanya, anak sulung daripada dua beradik itu menganggap dirinya tetap beroleh kemenangan apabila keluarga dan insan-insan yang disayangi ada bersama.

“Saya hadir ke mahkamah hari ini tanpa sebarang ekpektasi. Saya bangga dengan diri saya sendiri sebab saya percaya buat perkara yang betul. Pada masa sama perasaan itu juga beri saya kekuatan untuk buat rayuan.

“Hari ini secara peribadi, saya sangat gembira kerana ketika saya sangat memerlukan, semua orang yang saya sayang ada bersama saya. Saya rasa menang di situ,” katanya.

Dalam pada itu, Amelia menegaskan dirinya tidak berniat untuk melawan sesiapa dalam kes tersebut, tetapi lebih kepada mempertahankan pendiriannya.

“Ingin saya betulkan di sini, saya tak pernah berniat nak melawan sesiapa. Keputusan yang saya buat selama ini hanya untuk menegakkan pendirian. Saya tidak lawan, tetapi saya hanya menjadi diri sendiri sahaja,” jelas Amelia.

Hormat

Pun begitu, bintang drama Kisah Cinta Kita itu mengakui mempunyai pengalaman yang baik sepanjang bekerjasama dengan Datuk A. Aida yang juga merupakan penerbit dan pemilik A. Aida Production.

“Pengalaman saya bekerja dengan A. Aida sangat seronok. Jadi saya tak ada satu pun perkataan negatif untuk menggambarkan tentang dirinya.

“Saya harap semua faham kes ini adalah berkaitan percanggahan pendapat profesional. Itu sahaja,” tegasnya.

Iklan

Mengulas tentang keputusan penerbit tersebut yang enggan bekerjasama lagi dengannya selepas ini, Amelia menerima dengan hati terbuka.

“Kalau itu perasaan beliau, saya terima. Saya rasa menghormati semua orang dalam dunia seni termasuk beliau atau sesiapa sahaja, terutama mereka yang saya pernah bekerjasama.

“Saya sangat yakin dengan diri saya dan keputusan saya selama ini. Saya tak risau tentang perkara lain kerana saya yakin rezeki tak pernah dipegang oleh manusia,” tuturnya tenang.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon, Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Iklan

A. Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara terbabit ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon itu.

Bagaimanapun, saman terhadap Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk meneruskan kes saman tersebut.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.