PENYANYI, Siti Sarah tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya serta suami, Shuib selepas didenda kerana melanggar prosuder operasi standard (SOP) di kedai makan pada Jumaat.

Menjelaskan situasi sebenar, Sarah, 37, berkata, mereka ke Kelantan bukan untuk bercuti, sebaliknya untuk pembukaan outlet BubbleBee di Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Bagaimanapun dalam perjalanan ke sana, salah sebuah kereta milik pekerja mereka mengalami kemalangan, sebelum mereka membuat keputusan untuk berhenti minum di sebuah restoran di Kuala Lipis.

“Banyak dugaan sebelum kami sampai ke Kelantan… Bukan untuk datang bercuti, sebaliknya kami ke Kelantan dah dapat kebenaran rentas negeri untuk menguruskan pelancaran dua outlet baru BubbleBee.

“Pada mulanya, pekerja kami terlibat dalam kemalangan akibat jalan licin. Alhamdulillah syukur sangat kerana hanya kereta yang rosak, mereka tak alami kecederaan serius.

“Selepas selesai uruskan pelbagai perkara, kami buat keputusan untuk berhenti makan di sebuah restoran tepi jalan di Lipis.

“Sekali lagi kami diduga. Kami mohon maaf. Ini pengajaran untuk kami dan diharap menjadi pengajaran untuk orang lain agar sentiasa ikut SOP,” ujarnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

Terdahulu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohamad dan Sarah, masing-masing didenda RM1,000 seorang selepas didapati melanggar SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah premis restoran, di sini pada Jumaat.

Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pasangan yang juga usahawan itu dikenakan kompaun kerana didapati duduk di sebuah meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di premis terbabit.

Menurutnya, dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan itu turut dikenakan kompaun.

Iklan

“Turut dikenakan tindakan ketika rondaan pasukan Task Force Op COVID-19 Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 9 malam itu ialah pemilik restoran terbabit.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Kerajaan menetapkan bermula 10 Februari, hanya dua individu semeja ketika menjamu selera di kedai makan dan restoran.

Gambar yang dimuat naik oleh seorang individu di Facebook miliknya memaparkan Shuib dan Siti Sarah bersama beberapa individu lain menjamu selera melebihi dua orang semeja. – Foto Ihsan Polis