PELAKON dan pengacara, Didie Alias kembali merancakkan semula dunia pengacaraan dan muncul dalam program Lahar Net di Awesome TV.

Rancangan yang mengupas tentang isu-isu semasa yang panas dan tular bersama selebriti jemputan berlainan setiap minggu, turut dikendalikan Pink Hazwan.

Berkongsi penglibatannya dalam program ini, Didie berkata, antara faktor yang membuatkan dia tertarik untuk mengendalikan Lahar Net adalah kelainan yang dibawa.

“Program Lahar Net adalah program yang sangat menarik dan berlainan konsepnya kerana program ini membongkar kebenaran sesuatu perkara kepada penonton.

“Sebelum ini, netizen hanya menghukum sebelum mengetahui perkara sebenar. Saya harus berdiri, mewakili rakan-rakan artis terutama sekali untuk menjernihkan situasi,” katanya.

Didie mengendalikan Lahar Net bersama Pink Hazwan.

Dalam pada itu, ditanya tidakkah dia bimbang andai menjadi mangsa kecaman sekiranya soalan yang dilontarkan dianggap tidak sesuai, Didie sudah mempunyai jawapannya tersendiri.

Iklan

“Saya sudah biasa dikecam kerana itu adalah lumrah menjadi seseorang yang dikenali, apa sahaja yang dilakukan mungkin ada beberapa pihak tidak suka atau tidak bersetuju. Tetapi ia tidak menjadi masalah kerana saya sedia menerimanya.

“Itulah sebab program seperti ini diwujudkan, ia akan membantu kami, anak-anak seni untuk memperbetulkan keadaan tetapi jika netizen tetap mahu mengecam, silakan,” katanya yang turut memuji gandingannya, Pink Hazwan yang disifatkan cukup profesional.

Iklan

Sudah menemui penonton sejak 6 Mac lalu, Lahar Net disiarkan setiap hari Sabtu jam 9.30 malam di Awesome TV di saluran 123, Astro dan 112, MyTV.