MEMILIKI seraut wajah tenang dan lembut sering membuatkan pelakon Datin Elvina Mohamad, sinonim dengan watak wanita baik dan teraniayai yang sering ditawarkan kepadanya.

Membuktikan dia mampu tampil dengan sesuatu yang berbeza, pemilik nama sebenar Norazlina Mohamad, 26, mengunakan sepenuhnya watak antagonis sebagai Ruhila dalam drama Takdir Yang Tertulis (TYT) dengan sebaiknya.

Gara-gara watak tersebut, Elvina menerima kecaman hebat daripada warga maya yang terbawa-bawa emosi sehingga ke dunia realiti, termasuk ‘menyerang’ di laman sosial miliknya untuk meluahkan kemarahan.

“Saya faham emosi penonton yang marah dengan karakter Ruhila kerana sanggup merampas suami kawan baiknya sendiri dan isu itu dekat dengan masyarakat hari ini.

“Bagaimanapun, saya harap penonton tahu membezakan antara lakonan dan dunia realiti di mana ia langsung tiada kaitan dengan kehidupan sebenar saya.

“Saya okey sahaja membaca komen-komen yang marahkan watak Ruhila, tetapi kesal apabila ada segelintir mereka mengeluarkan kata-kata negatif kepada saya hanya kerana emosi dengan karakter tersebut,” ujarnya yang mengambil pendekatan untuk tidak melayan perkara tersebut.

Dalam masa sama, Elvina yang sudah lebih tujuh tahun bergelar pelakon mengakui seronok menjayakan watak berbeza, sekali gus memberikan pengalaman baharu buatnya.

“Saya anggap penglibatan dalam drama TYT ini sebagai rezeki yang tidak disangka kerana bukan sahaja dapat menjayakan karakter berbeza, tetapi juga berpeluang bekerja dengan team produksi dan rakan pelakon hebat.

“Sebelum ini saya susah dapat tawaran watak antagonis kerana ramai kata wajah saya tidak sesuai nampak jahat, tetapi bagi saya lakonan itu boleh dibentuk dan kalau tidak cuba, mana nak tahu hasilnya,” katanya.

Banyak perancangan tertangguh kerana PKP

Berkongsi perkembangan terkini dirinya, Elvina berkata, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kerja seninya tertangguh.

Malah perancangan untuk melancarkan produk kecantikan miliknya, L’Pure Beauty yang diusahakan setahun lalu juga terpaksa diatur semula.

“Saya sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama dan telefilem, tetapi disebabkan PKP ia ditangguhkan.

Iklan

“Begitu juga dengan pelancaran produk penjagaan kulit, L’Pure Beauty yang saya rancang turut tertangguh kerana hal sama.

“Saya akui ramai terkesan dengan PKP, terutamanya kru produksi yang bergantung sepenuhnya kepada penggambaran untuk pendapatan, jadi saya harap ada jalan penyelesaian terbaik untuk semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Karl Mateen, 2, itu berkata, dia menggunakan kesempatan tersebut untuk meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

“Jika sibuk bekerja selama ini pun, saya sentiasa membahagikan masa dengan sebaiknya agar tanggungjawab dalam rumah tangga berjalan seiring.

Iklan

“Alhamdulillah saya seronok menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan dapat melihat anak membesar depan mata dengan sebaiknya.

“Saya dan suami juga sepakat untuk hantar anak masuk sekolah lebih awal untuk beri dia pendedahan kepada dunia luar,” akhiri Elvina.

 

(FOTO: TV3)