USAHAWAN yang anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid, meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak yang menuduhnya belajar ilmu perniagaan dengan scammer.

Menurut suami kepada pelakon dan penyanyi Tya Arifin itu, sepanjang tiga tahun mempelajari ilmu perniagaan dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman (Doc), ramai yang menuduhnya belajar untuk menjadi scammer.

“Selalu saya dengar orang kata ‘biar betul anak Datuk K berguru dengan scammer?’. Padahal Dr Azizan merupakan guru dan mentor saya dalam dunia perniagaan ini.

“Apa yang orang cakap pasal beliau, banyak yang tak betul jadi saya rasa sebagai salah seorang usahawan yang beliau bimbing dan tranformasi, saya perlu untuk perjelaskan perkara ini.

“Dr Azizan sebenarnya adalah seorang jurulatih bisnes yang dah bantu banyak perusahaan kecil & sederhana (PKS) di Malaysia untuk capai jualan dalam jutaan ringgit,” katanya dalam akaun Instagram @asyrafkhalid pada Selasa.

ASYRAF KHALID
Asyraf dan Tya menjadikan Dr Azizan sebagai mentor dalam bidang perniagaan sejak tiga tahun lalu.

Baru-baru ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut memuji golongan usahawan bimbingan Dr Azizan atau RichWorks yang sentiasa menyokong antara satu sama lain untuk berjaya.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu turut berkongsi rasa bangga apabila anak dan menantunya itu menjadi antara usahawan bimbingan Richworks yang berjaya dengan produk mereka.

Tambah Asyraf, sejak berguru dengan Dr Azizan, dia dan Tya yang membawa jenama Mutyara Beauty berjaya menambah pendapatan walaupun dalam tempoh sukar.

“Asbab bimbingan dari Dr Azizan yang sentiasa menyediakan kami untuk hadapi apa-apa situasi, kami dapat jadi seperti yang anda lihat hari ini.

Iklan

“Antara jenama lain yang beliau bimbing yang juga merupakan ‘classmates’ saya seperti Sabella, Noir, PTTI, Faith Fluer, Eskayvie, Andalusia, Hasnuri, Nurraysa dan banyak lagi.

“Banyak lagi jenama lain atau pengasas yang sebenarnya asal dari zero yang Dr Azizan sudah bimbing sehingga menjadi terkenal malah ada juga bisnes yang dah lama, tetapi berjaya naik semula.

“Bagi saya bisnes ini memang tak mudah, tapi saya bersyukur beliau sentiasa ada untuk bantu capai apa yang saya nak capai.

Iklan

“Jujurnya, saya ni adalah seorang anak murid yang tak bagus, tapi Dr Azizan tak pernah putus asa dan buat macam-macam proses untuk pastikan saya menjadi orang lebih baik malah pemimpin yang bagus.

“Hasil bimbingan beliau, saya rasa dunia sudah banyak berubah. Hari ini, hubungan saya dengan Allah, mak ayah, isteri, anak-anak dan orang sekeliling adalah jauh lebih baik dari dulu.

ASYRAF KHALID
Asyraf mengakui hubungan kekeluargaannya juga semakin baik dan bahagia.

“Perniagaan kita juga alhamdullillah, semakin dikenali dan dipercayai ramai orang,” jelasnya.