KEHILANGAN orang tersayang buat selama-lamanya pasti menjadi dugaan terhebat buat sesiapa sahaja dan itulah yang dirasai oleh penyanyi, Kaka Azraff.

Pemergian neneknya, Yang Asmah Long, 92, tiga hari sebelum Anugerah Juara Lagu ke-35 berlangsung, benar-benar menguji semangatnya.

Akui Kaka, dia mengambil masa sehari untuk mengumpul kekuatan sebelum kembali menjalani latihan bersama Loca B dan Noki.

“Kebetulan jadual saya penuh menjelang AJL35, empat hari sebelum AJL35 saya kehilangan phone, kemudian kehilangan nenek yang paling saya sayang.

“Masa nenek meninggal, saya tak boleh buat apa sebab seharian menangis sehingga tak dapat join Loca B dan Noki menjalani latihan.

“Saya terpaksa pendam semuanya sebab nak fokus AJL, saya tak mahu kecewakan team saya,” ujarnya yang tidak dapat menahan tangisan ketika sesi sidang media pasca AJL35 menerusi sidang virtual pada awal pagi Isnin.

Iklan
Kaka mengakui terpaksa memendam semua kesedihan demi memberi fokus kepada Gila.

Tambah Kaka, demi melunaskan tugasnya, dia membawa semangat arwah neneknya ke atas pentas.

Iklan

“Arwah ajar saya menyanyi, dia kawan baik saya. Saya percaya kalau nenek saya masih ada, dia mahu saya teruskan perjuagan ini.

“Sebab itu saya tak tarik diri dan teruskan persembahan pada AJL35,” jelasnya yang turut berterima kasih kepada suami dan mak ciknya, Ella serta Jojie yang banyak memberi sokongan dan meniupkan kata-kata semangat.

Dari kiri : Loca B, Noki, Kaka Azraff dan Ezra Kong menjuarai AJL35.