BIARPUN sibuk dengan urusan kerjaya di ibu kota, penyampai radio Suria FM, DJ Lin sentiasa memastikan kehadiran 1 Syawal dapat diraikan bersama bonda tercinta di Johor Bahru.

Menurut DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abdul Majid, tiada apa yang lebih membahagiakan selain melihat senyuman ibunya, Puteh Jantan, 80, yang mendambakan kepulangan anak cucu meraikan Aidifitri bersama.

“Keadaan kesihatan ibu sekarang tidak begitu baik di mana dia kini mengalami strok, selain menjalani rawatan dialisis sejak empat tahun lalu.

“Saya dan adik-beradik yang lain memainkan peranan sendiri membuat pelbagai persiapan untuk menyambut raya seperti keperluan ibu, kelengkapan rumah, juadah dan sebagainya.

“Apatah lagi ibu lebih suka anak-anak menyediakan sendiri juadah berbanding membeli yang telah siap. Jadi kami akan masak dan anyam ketupat sama-sama setiap kali menjelang raya, tidak kiralah sibuk macam mana sekali pun,” katanya.

Biarpun sibuk dengan urusan kerja di Suria FM, DJ Lin tetap meluangkan masa bersama bonda tercinta.

Setelah dua tahun tidak pulang menyambut raya di kampung halaman, ibu tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Nureen Aresya, 21, dan Nazren Asyran, 19, mengakui teruja untuk melawat dan menziarahi saudara-mara yang telah lama tidak bertemu.

“Tahun ini saya agak sibuk dengan urusan kerja dan hanya dapat cuti raya beberapa hari sahaja. Namun saya mahu mengambil kesempatan itu untuk melawat sanak saudara yang sudah uzur dan berusia dengan berkongsi sedikit rezeki serta kegembiraan bersama mereka.

“Saya mahu jejak mereka yang sudah lama tidak berjumpa, sekali gus memberikan contoh pada anak-anak saya agar meneruskan amalan tersebut sampai bila-bila,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM juga bakal berangkat ke Eropah pada minggu kedua Syawal bagi mengikuti Persidangan Radio Eropah yang berlangsung di Sweden.

“Raya ketiga saya sudah pulang ke ibu kota bagi membuat persiapan sebelum terbang ke Sweden untuk satu acara persidangan radio.

Iklan

“Insya-ALLAH dalam tempoh dua minggu itu, saya juga akan pergi London dan Paris. Dapatlah rasa suasana raya di sana,” katanya.

(FOTO: Suria FM & Instagram DJ Lin)